By
-
3 November 2021
KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN)
Melaka merupakan medan terbaik untuk mengukur kekuatan parti politik sebelum
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dari segi strategi dan kerjasama
politik sebenar.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, keputusan Pas
menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka hanya meleburkan
peluang parti Islam itu bertapak di Melaka.
“Pas dilihat lebih selesa bersama PPBM
berbanding UMNO walaupun terpaksa tidak menggunakan lambang bulan yang menjadi
tradisi puluhan tahun.
“Pencapaian Pas di Melaka dalam PRU-14 pun tidak begitu
memberangsangkan. Pas tidak menang walau satu kerusi pun. Mereka hilang wang
pertaruhan di semua tempat yang ditandingi kecuali tiga kawasan.
“UMNO-BN dijangka menang selesa jika bersama Pas dalam Muafakat
Nasional (MN). Begitu juga Pas dijangka dapat buat pertama kali bertapak dalam
DUN Melaka sekiranya bekerjasama dengan UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Semalam, Pas membuat keputusan untuk
menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka pada 20 November ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan
lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, semalam.
Beliau berkata, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan
Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang semalam.
Dalam pada itu, Shahabudin berkata,
walaupun Pas tidak lagi bersama UMNO dalam MN namun jangan sampai menjadi
permusuhan kerana kedua-dua parti itu mewakili majoriti pengundi Melayu Islam
di negara ini.
“Bertandinglah secara berhemah kerana dalam politik, apa-apa pun
boleh berlaku pada masa yang akan datang demi ukhwah Islamiyyah,” katanya.
Katanya, sejak tahun lepas, Pas sudah memberi bayangan bahawa
parti itu akan bersama PPBM dalam gabungan PN, namun UMNO masih menaruh harapan
agar Pas mengubah pendirian.
“Terdapat juga segelintir akar umbi kedua-dua parti tersebut
masih menaruh harapan agar MN dapat direalisasikan pada hari mendatang terutama
pada PRU-15 kelak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette