Lantik Jamil Khir penasihat PM waktu ekonomi merudum menjengkelkan - AMK Kedah

 


Tindakan Kerajaan BN melantik Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri di tengah tengah kejatuhan ekonomi negara amat menjengkelkan rakyat.

Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah, Mohammed Firdaus Johari, pelantikan itu amat membingungkan di saat rakyat sedang mengerang keperitan menghadapi masalah kenaikan harga barang, terutamanya dalam kalangan rakyat bawahan dan pertengahan.

"Lantikan kalangan elit politik yang tidak jelas hala tuju ini tidak sepatutnya berlaku. Apakah tidak cukup besar martabat dan ketinggian darjat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama untuk melayakkan nasihat dan pandangannya diutarakan terhadap Perdana Menteri, sehingga terpaksa diwujudkan sebuah penjawatan baru?

"Isu perlantikan ini bukan semata-mata kontroversinya Jamil Khir dengan dakwaan penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) satu ketika dahulu, meskipun hal tersebut adalah sesuatu yang besar dan serius, tetapi apa sahaja pelantikan baru atau keputusan kerajaan yang bersangkut paut dengan perbelanjaan tadbir urus sekiranya berdasarkan “feasibility study” tidak memberi sebarang impak yang menyeluruh terhadap pembangunan kebajikan rakyat dan negara, maka sewajarnya ia tidak dilaksanakan," katanya.

Kata Firdaus, budaya lantik-melantik sesama kelompok elit politik haruslah dinoktahkan kerana seperti mana isu kenaikan harga barang berlaku sejak zaman berzaman, pelantikan politik juga telah kembali dengan lebih mekar seakan bersaing sesama sendiri, antara kenikan harga barang atau kenaikan pangkat orang politik.

"Segala perbelanjaan kerajaan berkaitan lantikan baru atau dasar dan polisi yang tidak menepati kriteria kajian kebolehlaksanaan yang natijahnya kelak mengakibatkan pembaziran haruslah ditamatkan.

"Lantaran itu dalam mendepani permasalahan yang lebih utama tahun demi tahun berkaitan kenaikan harga barang, adalah lebih baik sekiranya satu kajian menyeluruh dibangunkan berkaitan food security (keselamatan makanan). Hal ini juga amat berkait rapat dengan pemberdayaan kegiatan pertanian, penternakan dan perikanan," katanya.

Tambah beliau lagi, tekad yang tulus dan pemurnian kehendak demi rakyat seperti mana yang dipacakkan oleh Almarhum Ungku Aziz dalam gagasan Tabung Haji harus dijadikan contoh dalam mewujudkan gagasan keselamatan makanan untuk rakyat Malaysia.

Mungkin isu keselamatan makanan agak kompleks dan rumit, ujar Firdaus, namun ia merupakan solusi yang strategik dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang.

Selanjutnya beliau menasihati pemimpin BN agar merenung pandangan Syeikh Yusuf Al Qardhawi: "Jika kesederhanaan dalam berbelanja dan penjimatan dalam mengguna sudah menjadi kebiasaan dan tradisi satu bangsa, nescaya akan terkumpullah bagi mereka satu potensi kekayaan yang sangat besar. Masyarakat yang mengamalkan konsep ini merupakan masyarakat yang dewasa dan memiliki pemahaman yang matang dalam kehidupan."