Adegan
Tiga Abdul politik Malaysia
Oleh FAIZ FADZIL / November
28, 2021
Antara filem Allahyarham
Tan Sri P. Ramlee yang saya cukup minat adalah filem Tiga Abdul. Filem
ini penuh dengan adegan lucu dan banyak pengajaran kepada kita umat Melayu
dalam menjaga keharmonian keluarga dan kasih sayang adik-beradik.
Abdul Wahab dan Abdul
Wahib, dua orang abang yang tamak menafikan harta Abdul Wahub, tetapi ayah
mereka bijak menyimpan rizab harta di luar negeri untuk Abdul Wahub.
Setelah 57 tahun
berlalu, filem Tiga Abdul ini mengingatkan saya kepada politik
negara hari ini. Plot Tiga Abdul ini seolah-olah muncul
kembali dengan adanya tiga parti di pihak kerajaan hari ini iaitu Umno, Bersatu
dan Pas.
Bersatu dan Umno adalah dua
pemain layar utama yang merampas kerajaan tanpa pilihan raya yang mempermainkan
undi rakyat dalam PRU ke-14 lalu kerana tamakkan kuasa, manakala Pas ibarat pak
turut yang gilakan kuasa.
Watak
ini sedikit berbeza dengan filem Tiga Abdul kerana
Abdul Wahub adalah insan ‘innocent’ dan ‘decent’ berbeza dengan Pas. Namun,
plot utama filem ini ada persamaan dari sudut perebutan harta pusaka. Hari ini,
ketiga-tiga parti berebut harta rakyat. Rasuah dan penyelewengan terus berlaku
sejak zaman pemerintahan Umno sehinggalah Bersatu.
Pemimpin
hidup mewah, rakyat semakin menderita. Tetapi sebahagian rakyat masih ada yang
belum sedar, leka dengan pemberian RM1,000 wang prihatin dan melihat kekayaan
pemimpin seperti menonton filem sahaja.
Jika
rakyat sedar adegan dua darjat dalam politik negara hari ini bukan ‘fiction’,
sudah pasti mereka akan marah. Kenapa tidak, “aku dapat seribu ringgit, mereka
dapat seribu juta”. Walhal gaji mereka sudah berpuluh ribu ringgit.
Berbalik
kepada filem Tiga Abdul, yang membuatkan saya tertarik
adalah wang royalti Kelantan yang ditarik balik dan dijadikan wang ihsan. Zaman
PH, rakyat Kelantan dijaga baik dengan pemberian wang royalti sebanyak RM400
juta.
Jika wang itu dibeli Mercedes
sekalipun, ia tetap okey, sekurang-kurangnya untuk pemandangan rakyat Kelantan.
Rakyat pula dihidangkan ‘teh tarik’, itupun sudah cukup membuatkan sesetengah
rakyat Kelantan bersyukur kerana menurut pak menteri, ianya lebih baik daripada
mandi di sungai. Dalil ini diterima tanpa was-was.
Apabila
Umno dan Bersatu menjadi kerajaan sekarang, ditarik balik wang royalti ini dan
diganti dengan wang ihsan. Pas sugul menerima wasiat ini kerana Pas takut
hilang kuasa di Pusat.
Jika
di zaman Dato’ Asri Muda dulu, Pas menarik diri daripada kerajaan Pusat
disebabkan kerana perintah darurat di Kelantan. Inilah semangat jantan Pas
ketika itu yang menjaga rakyat Kelantan.
Tetapi
kini Pas sudah tidak jantan lagi. Yang boleh selamatkan hak rakyat Kelantan ini
adalah rakyat sendiri. Sepertimana filem Tiga Abdul, bapa mereka
(Ismet Ulam Raja) yang bijak menyimpan harta luar negeri untuk Abdul Wahub.
Namun,
dalam politik negara hari ini, watak Ismet itu tidak wujud, tetapi
kebijaksanaan Ismet itu yang perlu diikuti rakyat Kelantan. Petroleum itu hak
bumi Kelantan. Jadi, orang Kelantan berhak belaka menuntutnya.
Janganlah
berdiam diri lagi. Cukuplah kalian ditindas. Jangan sampai ‘mu kena jual’
sepertimana adegan di plot-plot terakhir filem Tiga Abdul.
*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa
Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang
Pasir, Pulau Pinang.