Cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, tan Sri Annuar Musa
untuk membenarkan calon-calon yang menyertai Pilihan Raya Negeri Melaka
berkempen di media rasmi milik kerajaan dialu-alukan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong, cadangan menteri berkenaan diharap memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi situasi larangan berkempen menemui pengundi yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Lebih baik lewat daripada tiada. Saya mengalu-alukan tawaran Tan Sri Annuar Musa. Larangan kempen oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob telah menyukarkan semua orang berkempen, justeru adalah adil kerajaan membenarkan akses kepada media rasmi," katanya.
Menurut Liew, kempen boleh dirancakkan di media rasmi jika dianjurkan debat antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, PN dan BN.
"Sama seperti debat langsung TV, Lim Guan Eng - Wee Ka Siong baru-baru ini, menteri boleh membantu memudahkan perbahasan untuk calon Ketua Menteri Melaka.
"Sdr Adly Zahari boleh mewakili Pakatan Harapan untuk membahaskan calon Ketua Menteri lain daripada gabungan lain.
"Perbahasan di kalangan calon daripada kawasan utama (DUN) juga perlu dianjurkan," katanya lagi.