Dalam kesibukan 'kempen bertanya khabar' dalam Pilihan Raya Negeri
Melaka, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat berdialog
bersama calon-calon muda Pakatan Harapan, pagi tadi.
Dalam pertemuan yang dimoderatorkan oleh ikon anak muda, Adam Adli
Abdul Halim itu, Anwar memberikan beberapa tips penting untuk mendekati
pengundi di Melaka, terutamanya orang Melayu yang dimaklumi alergi terhadap
DAP.
Tegas Anwar, pendekatan yang perlu diambil terhadap pengundi
Melayu terutama di luar bandar adalah bersikap merendah diri dan bijaksana
melayani mereka.
"Saya dalam perjumpaan dengan calon-calon semalam, bersama
Guan Eng dan Mat Sabu di kawasan (DUN) DAP, Amanah dan KEADILAN kita pesan
kepada calon mesti ada 12 - 13 program satu hari. Kalau calon ada 4 - 5 program
satu hari kita suruh dia cuti, kerana mesti terus menyantuni rakyat.
"Calon perlu turun dengan sikap sabar dan merendah diri. Tak
peduli orang pakai baju Pas, BN atau PN, kalau kita masuk restoran kita mesti
menyantuni semua.
"Kita tunjukkan sikap yang berbeza dengan mereka. Satu
perkara penting dalam semangat demokrasi, jangan ada sikap angkuh. Kita lebih
tahu daripada pengundi. Mesti ada tawaduk menerima rakyat ada kebijaksanaan.
"Dia tahu apa yang salah, apa yang benar. Cuma kadang kadang
dia tak yakin atau anggap orang politik sama sahaja
"Ada yang tanya mengapa kita cuba berkali kali tetapi ada
kawasan tidak ditembusi. Itu kerana kita belum pandai. Kita belum ada
keupayaan, kebijaksanaan untuk menyantuni mereka," kata Anwar.
Presiden KEADILAN itu turut menceritakan pengalamannya pertama
kali bertanding dalam pilihan raya sewaktu berusia 31 tahun di Permatang Pauh.
Katanya, cara dan pembawaan calon bertemu pengundi amat penting,
terutama pengundi muda yang belum banyak pengalaman politik.
Menurut Anwar, jika pergi ke kawasan kubu lawan perkara yang perlu
diutamakan adalah bertanya masalah di kawasan tersebut dan tidak menekankan
perlu undi parti mana.
"Semalam saya pergi ke kampung nelayan di Tanjung Bidara,
kubu kuat Umno, dan saya diberitahu kawasan ini susah.
"Saya pergi, sambutan nelayan itu baik sekali. Saya tahu
sentimen dia Umno tetapi kita ambil sikap, dia sahabat dan duduk sembang.
"Jangan nak cerita saya calon, minta sokongan. Tak bijak.
Tanya dulu berapa generasi jadi nelayan? Ada tak tempat teduha, isu jeti dan
sebagainya," ujar Anwar.
Begitu juga, tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, apabila
ditanyakan mengapakah perlu bersama-sama DAP. Atau pengundi bawakan soalan
perkauman dan sebagainya.
Calon sewajarnya menerangkan dengan bijak demografi kaum di
Malaysia dan paling penting menerangkan perundingan sentiasa dilakukan bersama
DAP dalam setiap perkara.
"Anti DAP itu terlalu lama (ditanamkan Umno). Jadi kalau ini
dianggap tidak akan disoal, tak betul.
"Yang penting kita tunjuk keikhlasan. Tidak mudah (tanpa DAP)
sebab base dia Cina bandar. (Masalah) nelayan kita perlu bawa. Jika dia (DAP)
menolak begitu rupa, oklah kalau kita nak marah. Tetapi jika dia kata ok, dan
akan bantu masyarakat nelayan, tak ada sebab (nak tolak).
"Cuma jangan bagi jawapan propaganda kerana kamu anggap
mereka boleh diperbodohkan," katanya lagi.
Dialog tersebut menghimpunkan dua calon muda Amanah dan DAP di
samping calon-calon muda dari KEADILAN.