UMNO tak perlukan Pas untuk jadi pendamai dengan Bersatu – Khaled
UMNO tidak memerlukan PAS untuk menjadi pendamai dengan Bersatu kerana parti itu sendiri ditubuhkan untuk menggantikan Umno.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keadaan itu jelas bahawa Bersatu adalah seteru Umno, dan PAS wajar mengerti situasi berkenaan.
“Umno tegas untuk tidak bekerjsama dengan PPBM (Bersatu) bukan kerana ia membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu.
“Tetapi kerana PPBM (bersatu) itu dibidani kelahirannya untuk mengganti Umno. Ia secara terang dan jelas, seteru Umno. PAS wajar mengerti kedudukan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, keadaan itu sama seperti mana Umno tidak pernah mengusahakan damai antara PAS dan Amanah kerana tahu sejarah kedua-duanya.
Justeru, katanya, PAS tidak boleh mengikat Umno dengan Mufakat Nasional (MN) dan pada masa yang sama mendambakan Perikatan Nasional (PN).
“PAS wajar terus dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan apa yang ia kehendaki.
“Dalam politik, tiada parti yang patut mencari keuntungan dari pelbagai pihak, dalam pelbagai keadaan dan pada setiap masa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, keputusan PAS sebenarnya memberikan Umno ruang dan peluang untuk kembali kepada BN yang sederhana, ‘multicultural’ dan progresif.
“Ia tidak lagi terbelenggu dengan sesiapa, bebas mencorakkan jalan kehadapanya. Kerana Umno sedar, jalan kemenangan ialah sokongan semua kaum dan bukan hanya Melayu.
“Kerjasama parti Melayu bukan satu-satunya jalan untuk menguasai kerajaan,” katanya.
Jelasnya, dalam politik yang sangat ‘disruptive’, kemenangan banyak bergantung kepada tawaran dasar yang lebih baik, kepimpinan lebih dinamik, rencana ekonomi yang lestari dan rencam generasi muda yang mesti difahami.
“Jika hanya mencongak jumlah undi Umno, PAS dan PPBM (Bersatu) itu sebagai tanda aras kemenangan, maka sangat lah simplistik. Politik Malaysia bukan sebegitu simplistik.
“Kerana rumitnya politik itu lah, maka BN adalah taruhan terbaik Umno untuk Malaysia. Yang lain hanya sampingan,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, keputusan PAS memilih PN jelas menunjuk MN tidak mudah dioperasikan.
“Keputusan PAS bermakna MN itu hanya wujud pada nama, tidak pada semangatnya.
“Laungan MN demi perpaduan ummah hanyalah halwa telinga. Hakikatnya, dalam politik, pelbagai kepentingan lain adalah keutamaan,” katanya.