Kritikan berlebihan ke atas
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kekalahan
mengejut PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru baru ini adalah tidak
perlu.
Menurut Majlis Pimpinan Negeri
KEADILAN Kedah, desakan supaya Anwar melepaskan Ketua Pembangkang sangatlah
tidak wajar, tambahan ketika tiada calon lain yang lebih layak mengantikan
beliau.
"MPN KEADILAN Kedah berdiri
teguh bersama Pengerusi PH yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar
Ibrahim mengemudi PH menuju PRU15 demi meletak kembali negara di landasan yang
betul. Kearifan, ketelusan serta integriti beliau sebagai pemimpin yang telah
teruji didambakan oleh seluruh rakyat yang cintakan tanahair .
"Kami mencermati bingkasan
reaksi dari pendokong KEADILAN secara keseluruhannya berikutan kenyataan umum
seorang ADUN dari parti rakan komponen yang jelas mencemar semangat
kesetiakawanan yang terbentuk sekian lama dalam perjuangan menobatkan aspirasi
rakyat, dan kenyataan itu juga menodai penghormatan wajar kepada sosok pemimpin
yang telah berkorban diri demi rakyat dan watan," kata mereka dalam satu
kenyataan.
Tegas kenyataan itu lagi,
seharusnya dalam keadaan akan menghadapi satu lagi PRN di Sarawak, rakan
komponen seharusnya mengambil langkah memelihara keharmonian serta keutuhan
gabungan.
"Elakkan apa jua kenyataan
yang mengguris sensitiviti rakan demi keutuhan satu perjuangan murni untuk
peradaban satu bangsa .
"Sebagai satu entiti yang
bergerak atas dasar konsensus dalam gerak kerja, adalah sangat tidak wajar
meletakan beban kegagalan tanpa mengkaji musabab terperinci hanya ke atas satu
sosok sedang kebertanggungjawaban harus dipikul bersama .
"Justeru kami menggesa
setiap dari kita cermat dan berhemah serta bertanggungjawab atas setiap
kenyataan politik terkait isu samada semasa mahupun umum," kata kenyataan
itu lagi.