Kalah di Melaka mesej rakyat tak suka MoU PH-kerajaan, kata pemimpin Warisan

 


(Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Kekalahan Pakatan Harapan pada PRN Melaka merupakan mesej daripada pengundi bahawa mereka amat tidak gembira gabungan itu mengikat memorandum persefahaman dengan kerajaan, kata Naib Presiden Warisan, Junz Wong.

“Warisan sudah beri amaran kepada PH jangan tandatangani MoU itu,” katanya dalam kenyataan, susulan kemenangan bergaya Barisan Nasional semalam.PH, yang merupakan blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat, dan kerajaan pimpinan Umno pada September memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, bagi membentuk suatu kerjasama dwi-partisan selaras titah Yang di-Pertuan Agong.

Pemeteraian itu menyusuli krisis politik yang melanda pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum itu, yang menyaksikan Presiden Bersatu itu meletak jawatan pada Ogos.

“Rakyat amat tdak gembira dengan MoU antara PH dan Umno,” kata pemimpin parti pimpinan Shafie Apdal itu, merujuk kepada memorandum PH-kerajaan.

Junz Wong.

Selain itu, katanya, rakyat betul-betul bosan dengan janji-janji yang dimungkiri PH, serta mahu pemimpin baharu yang membawa politik baharu dan harapan baharu.

“Warisan sudah beritahu PH tukar pucuk pimpinan,” katanya.

“Tetapi PH tak dengar, jadi pengundi tinggalkan PH atas pelbagai faktor.”

Junz seterusnya mendakwa banyak pengundi sebenarnya rasa berat hati untuk mengundi kerana terpaksa memilih antara “dua epal busuk”.

“Malah, ada pengundi lebih rela undi MCA dan MIC daripada PH,” katanya.

“Ambil kesempatan ini untuk bayangkan kemarahan orang ramai terhadap PH. Apa yang kita saksikan di Melaka adalah akibat keangkuhan PH,” tambahnya.

Junz berkata sudah ada tanda-tanda tentang hala tuju PH untuk PRU akan datang. Tegasnya, rakyat kebanyakannya menghharapkan harapan baharu dan hala tuju baharu.

“Bukan BN. Bukan Perikatan Nasional. Bukan PH yang dipimpin Anwar Ibrahim,” tambahnya.

“Sekiranya PH mahu bersaing dengan BN pada pilihan raya akan datang, PH mesti tukar pucuk pimpinannya sekarang.”

Presiden Warisan, Shafie, sebelum ini merupakan pilihan alternatif Warisan, DAP, dan Amanah untuk jawatan Perdana Menteri, selepas Anwar. Turut menyokong Shafie adalah kumpulan pro-Dr Mahathir Mohamad.