Sekarang ini, setiap hari dan sepanjang masa, ada saja berlaku perbalahan dan pergaduhan antara pemimpin UMNO dengan pemimpin Bersatu.
Mereka bertelagah dan bergasak sesama sendiri seolah-olah itulah kerja utama dan perjuangan yang diutamakan sehingga pantang ada isu dan tercuit sikit, di situlah mereka akan berlaga dan bertelagah secara terbuka.
Kadangkala pula, oleh kerana tiada isu, sengaja dicari-cari isu agar boleh melepaskan rasa ketagih bergaduh itu.
Kalau selama ini kita tahu cuma anjing dan kucing saja yang sering bergaduh sehingga ada kata umpama mengenainya, kini sebenarnya bergaduh antara UMNO dan Bersatu jauh lebih dahsyat lagi.
Agaknya anjing dan kucing pun sekarang sudah ada yang senyum dan ketawa sinis sesama mereka melihat gelagat pemimpin UMNO dan Bersatu yang tak henti-henti bergaduh itu.
Dengan ini juga, perumpamaan seperti anjing dengan kucing untuk mengibaratkan mereka yang suka bergaduh sudah tidak sesuai lagi digunakan sekarang ini dan harus ditukar kepada umpama UMNO dengan Bersatu pula.
Sejak bersama dalam kerajaan pusat setelah berpakat mengkhianati mandat rakyat bermula Mac 2020, bergaduh dan bergasak sesama sendiri adalah pengisian masa oleh pemimpin UMNO dan Bersatu.
Tidak cukup dengan menjatuhkan Perdana Menteri dan Menteri Besar, pergaduhan UMNO dengan Bersatu itu tambah memuncak lagi dalam PRN Melaka ini.
Ingatkan setelah berjaya menjatuhkan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri, tiada lagi perbalahan antara mereka kerana Ismail Sabri Yaakob yang dipilih jadi pengganti adalah pilihan bersama mereka.
Walau pernah berikrar untuk sama-sama mengutamakan memerangi Covid19, yang terbukti sudahnya ialah asyik berperang sesama sendiri berebut kuasa.
Dalam PRN Melaka ini, meski puncanya ialah UMNO menjatuhkan kerajaan UMNO, tetapi akhirnya yang berlaku ialah permusuhan yang semakin ketara antara kedua-dua parti itu.
Mereka bergaduh dan saling serang-menyerang dalam kempen, bahkan sudah mula ternampak tanda-tanda ia akan terus berlarutan selepas keputusan diumumkan nanti.
Sama ada BN atau PN yang menang atau jika kedua-duanya kecundang, tidak ternampak kemungkinan ada jalan damai yang tenang.
Bahkan dipercayai, selepas 20 November nanti, pergaduhan dan perbalahan itu akan tambah semarak dan serius lagi.
Yang parah dan derita akhirnya sudah pastilah rakyat juga kerana selagi mereka bergaduh dan berbalah, selagi itulah mereka makin kuat mementingkan diri dan kelompok sendiri.
Membela rakyat sudah jadi matlamat yang diketepikan sama sekali.
Yang mudahnya, baik PN dan BN yang ditunjangi Bersatu serta UMNO, kedua-duanya tidak harus dibiarkan lagi memiliki kuasa, baik secara sendirian atau bersama, di mana-mana negeri atau di peringkat pusat.
Kelakuan mereka sejak Mac 2020 adalah pengajaran paling berguna yang menunjukkan semua mereka bukan saja parasit atau makhluk perosak, tetapi juga toksik yang boleh membinasakan.
Makin hari kelakuan mereka makin parah dan makin merosakkan dengan keutamaan lebih kepada diri sendiri, jawatan dan semata-mata habuan.
Meski ramai yang tidak ragu-ragu mengatakan semua ini adalah bala Tuhan sebagai balasan kerana bersikap khianat terhadap mandat rakyat, apakah kita mahu terus menjadi golongan yang tidak mahu berfikir dan ingin terus memberi mereka kuasa? –
ShahbudinHusin 15/11/2021.