PRN Melaka: ‘Pertembungan terhebat Melayu’ buka tirai
PETALING JAYA: Beberapa jam sahaja lagi pilihan raya “terbesar” dalam sejarah negara akan berlangsung di Melaka, yang juga merupakan kawasan pemilihan atau “medan pertempuran” terkecil di negara ini.
Hanya terdapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk direbut dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini yang dicetuskan oleh krisis politik dalam kalangan pihak yang berkuasa.
Ia bakal menjadi pilihan raya yang tidak pernah disaksikan oleh rakyat Malaysia sebelum ini.
PRN ini adalah yang pertama diadakan dalam suasana pandemik, bawah sekatan Covid-19 yang akan menyebabkan keseluruhan proses pilihan raya, bermula dari penamaan calon sehingga kempen pilihan raya diadakan dalam norma baharu.
Tiada perhimpunan umum atau perjumpaan sosial membabitkan pilihan raya dibenarkan sehingga 27 Nov, susulan pengalaman daripada PRN Sabah yang diadakan pada September 2020.
Terdapat juga kebimbangan besar mengenai kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah di tengah-tengah suasana pandemik dan bagaimana sekatan berkempen akan menjejaskan parti pembangkang.
Namun apa yang lebih ketara, PRN pada 20 Nov nanti akan menjadi pratonton “pertembungan Melayu” terhebat yang dijangka berlaku pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang dengan Umno menentang Bersatu dan PAS yang akan bertanding di bawah lambang Perikatan Nasional (PN).
Tiga parti Melayu utama yang bersatu menggulingkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2020 adalah sekutu dalam kerajaan persekutuan, walaupun persengketaan antara Umno dan parti serpihannya, Bersatu bukan lagi rahsia.
Mungkin buat pertama kali dalam sejarah negara, seorang yang bertugas sebagai Perdana Menteri akan berkempen untuk calon partinya sendiri menentang sekutunya di Putrajaya.
Ia juga menjadi pertama kali Umno dan PAS akan bertembung sejak kerjasama bersejarah mereka bawah payung Muafakat Nasional, serta pertama kali sejak 1974 sewaktu PAS tidak menggunakan logo ikonik hijau dan putih mereka.
Menyertai pertembungan itu ialah Pakatan Harapan (PH), yang dilihat mampu menarik beberapa undi Melayu di samping sokongan besar yang dinikmatinya daripada pengundi Cina dan India. PH, seperti BN dan PN akan bertanding di semua kerusi, justeru memastikan berlakunya pertembungan tiga penjuru di seluruh negeri itu.
Pertembungan antara Umno dengan Bersatu dan PAS sepatutnya memberikan kelebihan buat PH, namun parti dalam gabungan pembangkang itu juga mengalami isu tersendiri.
Keputusan PKR dan Amanah untuk menerima dua daripa empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) “pembelot” yang menjatuhkan kerajaan negeri bulan lalu, tidak disambut baik oleh DAP apabila parti itu tidak hadir ketika majlis pengumuman calon dibuat kelmarin.
DAP juga menimbulkan persoalan tentang siapakah yang akan dipilih PH sebagai calon menjadi Ketua Menteri sekiranya mereka mendapat mandat. Kedua-dua calon PH yang bertanding telah memegang jawatan itu sebelum ini, iaitu Ketua PH negeri Adly Zahari (2018-2020) dan bekas orang kuat Umno Idris Haron (2013-2018).
Menariknya, persoalan siapa yang akan menjadi calon Ketua Menteri daripada pesaing mereka juga belum terjawab apabila BN dan PN masih belum menamakan calon masing-masing.
Apa yang pasti pada 20 Nov ini akan ada kerajaan baharu di Melaka dan memberi gambaran yang lebih baik tentang parti manakah yang akan memasuki PRU15 dengan kelebihan.