Sehubungan itu, katanya ADUN Bilut, Pahang yang mahukan Datuk Seri
Anwar Ibrahim berundur kerana memikul tanggungjawab kekalahan seharusnya
mengkaji punca sebenar orang Melayu tidak mengundi PH, adakah kerana faktor
Anwar atau DAP.
"Selama ini sekiranya PH kalah puncanya kerana DAPphobia di
kalangan orang Melayu yang ditiupkan sentimen oleh Umno BN dan sekarang
ditambah pula Perikatan Nasional iaitu Bersatu dan Pas yang memang anti DAP,
mereka membakar emosi orang Melayu dengan label anti Islam, anti Melayu,
komunis, anti hudud, rasis dan sebagainya.
"Malah KEADILAN atau Amanah dituduh sebagai 'kuda tungganan
DAP'. Sedarkah ADUN Bilut orang Melayu tidak undi PH kerana DAP bukannya kerana
Anwar Ibrahim?
"Walaupun Melayu BN atau PN terpalit dengan isu rasuah,
penyelewengan dan skandal yang menjijikkan, namun orang Melayu lebih sanggup
memilih perasuah, penyangak dan penyamun asalkan jangan PH yang bersekongkol
dengan DAP," katanya.
Tegas beliau DAP tidak berjaya memusnahkan naratif 'kalau undi PH
Cina akan berkuasa' , 'Cina akan jadi Perdana Menteri, Ketua Menteri' atau
bermacam-macam fitnah lainnya.
Menurut beliau, sekiranya orang Melayu kampung tidak lagi berada
dalam minda terkepung itu, maka PH dengan mudah meraih undi mereka.
"Sejauh manakah ADUN Bilut telah mengambil inisiatif agar
orang Melayu menolak propaganda yang dimainkan oleh BN dan PN yang mendakwa
mereka adalah parti Melayu Islam?" tanyanya.
Tambah Shahril, DAP sewajarnya berusaha menghapuskan persepsi
negatif yang dimainkan oleh BN dan PN ini. Namun sebaliknya, kata beliau, ada
pula dalam kalangan pimpinan DAP sengaja meniupkan sentimen perkauman sehingga
menjadi bahan dan bukti sikap anti Melayu dan anti Islam.
Oleh itu, ujarnya, pimpinan DAP Pusat wajar berhati-hati, mendidik
dan mendisiplinkan kepimpinan mereka daripada mengeluarkan kenyataan yang
berbaur perkauman.
"Jingga13 Pahang mendesak satu tindakan tegas harus diambil
terhadap ADUN Bilut yang dilihat tidak menghiraukan notis 24jam dari KEADILAN
serta enggan tarik balik kenyataan beliau.
"Tindakan ini bagi menjernihkan semula hubungan dalam PH
Negeri Pahang dan Pusat yang agak tegang disebabkan isu ini
"Nasihat Jingga13 Pahang kepada ADUN DAP itu agar jangan
sibuk menuding jari kepada orang lain. Kejayaan dan kekalahan PH harus dikaji
dan diperbaiki. Bukannya sibuk mencari salah orang. PH bukan individu tetapi
muafakat yang kolektif antara kepimpinan PH dan ahli-ahlinya," kata beliau
lagi.