Umno perlu tafakur dan
sucikan jati diri
-
November 26, 2021
PRN
Melaka sudah mustaid semuanya. Ketua Menteri Umno sudahpun angkat sumpah dan
Umno seharusnya berkerajaan di negeri bersejarah itu hingga 2026. Namun
kejayaan besar ini tidak patut menjadikan Umno riak atau bongkak.
Banyak
lagi ujian untuk Umno harungi demi kekal menjadi gerakan siasah perdana dan
utama dalam negara. Keangkuhan bukan penyudahan terbaik dalam politik. Jika
tergelincir daripada ratib perjuangannya – Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmat,
Umno akan jadi tidak relevan.
Dalam
sekelip mata, teknologi baharu dalam bidang komunikasi mampu memadamkan rekod
gemilang Umno. Setiap entiti politik mampu membakul-sampahkan Umno jika ia
tidak peka, cekap, dan tidak ikhlas bermasyarakat dengan pengundinya.
Justeru,
PRN Melaka bakal jadi igaun bagi generasi Umno akan datang. Adab dan sifat
komunikasi teknologi baru tidak memadai mengekalkan jenama Umno ini. Ia wajib
disulami dengan rukun iman perjuangan Umno.
Kini
Umno perlu bertafakur mengapa ia kini sentiasa cemas. Maruahnya tercabar. Zaman
di mana menjadi ahli dan, apatah lagi pemimpin Umno, memancarkan status
kemuliaan sudah berlalu. Mengapa dan bagaimana ini terjadi?
Penganut,
pemikir, dan pemimpin idealisme Umno harus insaf keadaan murung ini. Caci
nista, sumpah seranah, dan rasa benci seolah bertepek pada wajah dan jati diri
Umno. Umno perlu tepuk dada dan tanya iman.
Apakah
ada asam garam tindak-tanduk dan ramuan politik Umno yang kurang sehingga ia
terpalit dengan imej hodoh ini? Apakah slogan Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmat
yang menjadi tajuk lagu perjuangannya kini tidak mampu menjadi peniup
semangatnya?
Atau,
adakah Umno kini sebuah parti yang angkuh hingga memualkan rakyat? Memang benar
PRN Melaka boleh dihujahkan sebagai bukti Umno tidak berada dalam keadaan
seburuk itu. Namun yang pasti kemenangan di Melaka lebih banyak berpunca imej
dan prestasi lebih buruk saingannya.
Bersatu
tidak mempamerkan akhlak terbaik selepas ia merelakan dirinya menjadi tempat
singgah dan gelanggang bermain katak-katak politik yang berjudi dengan mantera
‘Langkah Sheraton’.
PAS
pula longlai di Melaka sebab sebagai wadah Islam yang sepatutnya menjernihkan
siasah dan memuliakan dinul-Islam dalam politik negara, ia sebaliknya
bersekongkol dengan politik menjijikkan Bersatu.
Sementara
PKR tidaklah nampak perkasa sejak ditalak oleh katak-katak politik yang sebelum
ini bersarang dalam kolam politiknya. Keserakahan ini membias pada keluhuran
kepimpinannya. Rakyat tidak mahu politik negara bergelora kerana ketidakpastian
sebegini.
DAP
pula menjadi parti yang rentan serta-merta kerana tidak berupaya memulihkan
semangatnya setelah diragut kuasanya memerintah setelah berhasil mengaibkan
Umno dan konco-konco politiknya dalam PRU 2018.
Keberhasilan
Umno di Melaka tidak meriah kerana ia diraih daripada lawan-lawan yang capek
dan miskin imej juang mereka dan bukan sebab keluhuran jati diri perjuangan
Umno. Keadaan ini pasti tidak mengukuh semangat dan harga diri Umno. Ia
terkatung dalam sfera politik negara.
Umno
perlu cari jalan pulang kepada kesuciannya yang hilang kerana kelalaian dan
riak. Ia leka dengan persaingan dalam rumah tangganya sendiri dan alpa mengambil
iktibar mengapa ia ditolak rakyat pada Mei 2018.
Cogan
Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmat kurang dihayati. Malah dalam kalangan
sesetengah pemimpin, nilai itu sengaja dicicirkan dalam kegayatan menghimpun
pangkat, nama, dan harta dan mabuk dek azimat Hang Tuah kononnya; takkan Melayu
hilang di dunia.
Pemimpin
golongan ini tidak khatam mengaji sejarah Melayu dan tidak menghormati sempadan
yang digariskan oleh Hang Jebat – Raja adil, Raja disembah, Raja zalim Raja
disanggah. Rakyat tidak mahu kleptokrat Umno jadi Raja apatah lagi jika
kleptokrat ini zalim.
Insaflah
Umno, PRN Melaka membuktikan rakyat tahu mengenang budi. Di antara yang buruk
rakyat bijak mengelak yang lebih buruk. Namun mengapa Umno mesti memilih
menjadi buruk?
PRN
Melaka harus dianggap satu rahmat bagi Umno. Ia berkesempatan bertafakur dan
mensucikan semula idealisme cogan Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmatnya. Api
politik jangan diperjudi. Ia tetap membakar jasad dan roh perjuangan sendiri.
Cogan
Umno menuntut keikhlasan dan keberanian. Sudah ada di ribaan Umno sebarisan
pemimpin yang gesit dan masih memiliki akal budi yang murni. Walau tanpa
nakhoda yang rasmi mereka memancarkan semangat Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat
tanpa jemu.
Usah
waham dan ragu. Semboyan “kubur kata mari, rumah kata pergi” sudah berbunyi dan
Umno perlu yakin pada firasat pusaka “patah akan tumbuh hilang pasti berganti”.
Elakkan riak. Pemimpin muda, bijaksana mesti diarak.
Sangkakala
politik sudah berbunyi di Bumi Kenyalang. Umno harus manfaatkan ruang waktu
yang ada sebelum Ismail Sabri Yaakub terpaksa berdikari dan mengekori Sarawak
mensucikan litar politiknya sendiri.
Yang
pasti rahmat PRN Melaka satu peluang. Jangan Umno mentafsirnya songsang. Jika
Umno bakhil berubah, sudah pasti pihak saingan akan tetap istiqamah dalam tekad
melihat sejarah Umno sekali dibelasah.