MSO
EKORAN kemenangan bergaya BN dalam Pirane Melaka sekaligus
mengejutkan pemerhati politik, ada
ura-ura dan gesaan supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan dalam waktu
terdekat.
Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri
oknum bertanggungjawab untuk menasihatkan kepada Yang diPertuan Agong bagi
membubarkan parlimen sudah diberi tahu mengenai hasrat itu.
Hal ini dilaporkan telah
oleh timbalan presiden Umno Mohamad Hassan sendiri. Menurut
perkiraan Mohamad Hassan waktu ini BN ada feel good factor untuk
menghadapi pilihan raya umum ke-15 itu. Semuanya berpandukan kepada keputusan
Pirane Melaka semalam, dimana BN mendapat 21 kerusi daripada 28 kerusi yang
dipertandingkan.
Bagaimana pun pendapat
Mohamad itu bercanggah (disanggah) oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang
dilihat sebagai oknum yang berpandangan rasional dan tenang dalam Umno, yang
mengingatkan agar Umno tidak mudah untuk menjadikan Pirane Melaka itu sebagai
kayu ukur untuk mengatakan kekuatan BN sebenarnya dan berkira-kira untuk
bergerak secara solo.
Kata Khairy Umno harus
mengkaji dan meneliti apakah parti itu patut untuk bergerak secara solo. Bagi
Khairy beliau masih tidak percaya kepada kekuatan yang ada kepada Umno hari ini
untuk bergerak secara berdendiri tanpa berpakat dengan mana-mana pihak apa lagi
jika hanya berpandukan kepada Pirane Melaka tersebut.
Memahami pandangan Khairy
itu, menjelaskan beliau tidak menjadikan kemenangan BN di Melaka itu sebagai
representasi buat BN untuk menghadapi pilihan raya umum nanti ini, kerana
pilihan raya itu hanya membabitkan 65 peratus pengundi sahaja di mana ada 35
peratus lagi yang tidak turun dan dipastikan sokongan mereka.
Dengan peratus keluar
mengundi rendah, Khairy berpendapat bukan satu indikator atau kesimpulan mudah
dibuat bahawa BN boleh membuat keputusan untuk bergerak secara solo. Lantaran
itu beliau mengingatkan BN supaya berhati-hati.
Ramai pemerhati
sependapat dengan Khairy itu. Kemenangan BN di Pirane Melaka itu kerana faktor
besarnya, disebabkan peratus keluar mengundi rendah. Hakikat ini diakui oleh
pihak PH juga. Sekiranya peratus keluar mengundi tinggi mungkin kedudukan
berubah.
Apabila diambil perkiraan
dibuat oleh Lim Kit Siang ia munasabah dan ada logikalnya. Dalam perkiraan Kit
Siang, perbezaan atau kekurangan undi yang diperolehi BN dengan PH hanya
sekitar 8,773 undi sahaja, dimana menurut peratus undi, BN memperolehi 38.39
peratus sementara PH memperolehi 36.65 peratus sahaja, bezanya 1.74 peratus sahaja.
Selebihnya diperolehi PN dan calon babas.
Perangkaan itu relatif
sangat rendah dan bukan angkubah yang mewah. Sekiranya apa diperkatakan Khairy
itu benar, jikalau peratus keluar mengundi tinggi, kemungkinan BN tidak menang
sebergaya seperti semalam sehingga mendapat 2/3.
Perlu diingat, terdapat
12 kerusi yang BN menang dengan majoriti bawah pada 1,000, tujuh kerusi
menentang PH dan lima kerusi menentang PN. Majoriti itu adalah marginal.
Dengan perangkaan itu ia bukan satu keadaan yang selesa bagi BN jauh lagi untuk
mencatatkan BN memiliki feel good factor dengan keputusan
Pirane Melaka itu.
Di dalam pilihan raya
umum nanti, situasi dan kondisinya jauh berbeza. Sekiranya BN mengharap kepada
peratus keluar mengundi rendah untuk memastikan mereka akan menang, ia silap.
Kerana dalam pilihan raya umum pengundi akan bersikap lebih bertanggungjawab
kepada kewajiban mereka. Mungkin suasana ketika itu nanti tidak menakutkan
seperti sepanjang Pirane Melaka itu yang ditakuti dengan Covid. Dan apa perlu
diperkirakan apakah kalau peratus keluar mengundi tinggi ia akan berpihak
kepada BN?
Seandainya mengambil kira
pandangan dan peringatan Khairy itu, ia tidak menjamin kebaikan untuk BN.
Khairy sudah tentu ada perkiraan dan matematik politik masih belum yakin dengan
pemulihan semangat dalam Umno keseluruhannya.
Bukan itu sahaja, dalam
Piraum ke-15 nanti suasana jauh berbeza dengan Pirane Melaka itu. Boleh jadi
perlawanan bukan lagi tidak penjuru lagi seperti di Melaka itu, sebaliknya
hanya dua penjuru sahaja. Gabungan ketiga mungkin tiada apabila berlaku
konsensus atau pendekatan politik baru kelak.
BN perlu berfikir dan
mengambil kira, PN yang beriya-iya untuk membunuh BN khasnya Umno tidak akan
kekal dengan strategi menentang BN tiga penjuru seperti berlaku di Melaka itu
apabila mereka menyedari strategi itu menguntungkan UBN. Nafsu dendam Mahiaddin
Yassin sangat tinggi untuk tidak melihat Umno dan BN wujud di bumi Malaysia
ini.
Semalam pun dalam reaksi
segera kepada saranan agar beliau bubar Bersatu dan kembali kepada Umno, beliau
menegaskan tidak akan berbuat demikian dan kekal dengan partinya dan PN,
kerana Bersatu memperjuangkan soal integriti dan tadbir urusan lebih
baik.
Perlu juga diketahui
Mahiaddin menubuhkan Bersatu adalah kerana mahu menegakkan prinsip dan melawan
Umno yang tidak berintegriti.
Ertinya selagi dalam Umno
itu ada Najib Razak dan orang-orang sepertinya, Mahiaddin
tidak akan membubarkan Bersatu apa lagi untuk kembali kepada Umno. Sementelahan
pula, apabila pilihan raya umum itu diadakan dengan tujuan BN ingin mendapat
kuasa, ia menambahkan kemarahan dan membuakkan dendamnya kepada BN kerana dalam
sifat makrifatnya kalau BN menang, Najib akan diampunkan. Pengampunan bagi
Najib sesuatu yang mengecewakannya?
Hari ini dosa Najib masih
belum terampun sepenuhnya, lantaran itu ia sama sekali tidak memungkin untuk
Mahiaddin bersama Umno atau BN. Sekiranya dia kembali bersama Umno bermakna
prinsip dan integriti yang dipertahankan selama ini lebur dan akan diejek. Apa
lagi kalau beliau mendapat keyakinan daripada Pas untuk kekal bersamanya dalam
Perikatan Nasional (PN), beliau akan terus mengenderai PN dalam pilihan raya
akan datang. Timbalan presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man pula telah memberi
jaminan parti itu tidak mengkaji kedudukannya dalam PN.
Ertinya untuk berpatah
balik kepada BN bagi Mahiaddin sama sekali tidak. Jika ini berlaku feel
good factor seperti mana disebut oleh Mohamad Hassan itu tidak
mudah memberi laba kepada BN, sekiranya dalam Piraum ke-15 nanti BN akan
berlaku perlawanan tiga penjuru kerana situasi dan kondisinya lain.
Dan suatu perkara perlu
difikir dan dihitung sebaik mungkin oleh BN, pastikan apakah dalam Piraum ke-15
nanti akan berlaku pertandingan tiga penjuru seperti di Melaka itu? Dengan
dinamika politik mana tahu dalam pilihan raya itu nanti, Bersatu atau PN akan
menemui titik persamaan untuk bergabung? Barang diingat antara PN dan PH
memiliki semangat sama untuk menentang kemungkaran dan mewujudkan pentadbiran
yang baik.
Jika ini berlaku, sudah
pasti pencapaian cemerlang di Melaka itu tidak relevan lagi untuk dijadikan
kayu pengukur, lantas apa disarankan Khairy itu perlu diperhalusi, jangan
mengambil tindakan gopoh.
Juteru, BN khasnya Umno
jangan tergesa-gesa untuk mendesak Ismail Sabri mengadakan pilihan raya dalam
waktu terdekat dan sebaik-baiknya tunggulah sehingga Julai tahun depan seperti
mana yang telah dipersetujui dalam MoU. Sementara menanti Piraum ke-15 Umno
sebaiknya berbulan madu dengan kemenangan di Melaka itu sepuas-puasnya sambil
mengemaskan kedudukan partinya di seluruh negara. [wm.kl. 8:33 pm
21/11/2021]