TUDM sah berminat untuk peroleh pesawat Hornet FA-18D terpakai Kuwait
Mohd Zalani Md Atan
November 3 , 2021
Pesawat Hornet FA-18D yang digunakan TUDM ketika ini. Kuwait dilapor merancang untuk menghentikan penggunaan pesawat Hornet FA-18A/D dan menggantikannya dengan pesawat FA-18 Super Hornet. - Gambar fail/ Bernama
KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berminat untuk memperoleh pesawat Hornet FA-18D terpakai dari Kuwait, malah sudahpun menyatakan hasrat itu kepada negara berkenaan.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait pertengahan bulan ini.
"Pelbagai usaha sedang dilaksanakan kita juga sedang menunggu... insya-Allah saya akan ke Dubai Airshow 2021 (di Dubai World Central dari 14 hingga 18 November 2021).
"Staf-staf saya sedang mengatur untuk mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait... kalau berkesempatan untuk bertemu mata dengan mata, bertanya daripada mulut beliau sendiri sama ada mereka mempunyai hasrat menjual pesawat itu kepada pihak yang ketiga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Eksesais PARADISE Siri 8/2021 di Pangkalan Udara Kuantan pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, Kuwait merancang untuk menghentikan penggunaan pesawat Hornet FA-18 A/D dan menggantikannya dengan pesawat FA-18 Super Hornet.
Sementara itu, Ackbal berkata TUDM akan memperolehi empat helikopter jenis Agusta Westland AW139 secara sewaan dalam masa terdekat untuk tempoh empat hingga lima tahun sementara menunggu rancangan perolehan 24 buah helikopter yang baharu pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)
"Alhamdulillah kita telah dimaklumkan tender baru ditutup dan telahpun di award... saya tak boleh kata syarikat mana yang dapat... dan dalam masa terdekat ini pesawat itu akan mula beroperasi bersama TUDM secara sewaan empat ke lima tahun.
"TUDM mengharapkan the next one is jangka panjang... dan itu perolehan helikopter... kalau boleh dalam RMK-13 sebanyak 24 helikopter lagi," katanya.
Empat helikopter berkenaan adalah bagi mengisi keperluan utiliti TUDM, katanya.