Peraturan berkempen yang ketat dikenakan oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya menyebabkan calon-calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak punya
banyak pilihan untuk berkempen.
Salah satu cara bertemu pengundi adalah 'sembang santai di warung', dan hal itu dilakukan oleh Pengerusi Pakatan (PH) Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon N23 DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sekitar pukul 7.00 pagi tadi.
Anwar tiba di warung Kenangan Ibu yang terletak di pekan Cheng itu bersama beberapa pimpinan KEADILAN yang membantu kempen. Beliau diiringi penyokong PH dan masyarakat setempat yang bersarapan pagi di warung berkenaan.
Kesempatan itu digunakan untuk memperkenalkan calon dan sembang santai mengenai perkembangan negeri Melaka.
Turut ditemui adalah ADUN Suka Menanti yang pernah menjadi Exco Kedah, Zamri Yusuf. Beliau memberitahu misi utama PH adalah meyakinkan pengundi bahawa keadaan pandemik Covid 19 terkawal dan tidak perlu khuatir untuk keluar mengundi pada 20 November ini.
YB Zamri Yusof
"Kita dah jumpa kawan-kawan di sini dan pengundi-pengundi.
"Nampaknya pengundi-pengundi mulanya agak takut untuk keluar mengudi kerana mereka rasa macam suasana belum selamat.
"Tetapi kita bagi tahu, kita dah capai imuniti kelompok, keadaan terkawal, SOP pengundian pun disusun dengan baik. Susunannya pun saya tengok kalau bergejala diasingkan. Jadi kepada semua pengundi marilah keluar mengundi, tunaikan hak anda, kembalikan mandat rakyat," katanya.