Anggaran hasil tersasar 9%, semak semula Bajet 2022
Belanjawan 2022 perlu disemak semula apabila anggaran hasil 2021 didakwa terpesong sehingga 9%
Ahli Parlimen Wong Chen (PH – Subang) berkata, anggaran yang terpesong boleh menyebabkan kerajaan tidak mempunyai hasil yang cukup untuk membuat pembayaran kepada kontraktor dan sebagainya.
“Kerajaan sekarang mengaku secara bertulis anggaran asal bagi hasil 2021 adalah terlalu tinggi dan perlu disemak semula.
“Sejauh manakah anggaran kerajaan jauh terpesong? Dalam buku fiskal anggaran asal jauh lebih tinggi sebanyak RM15.9 bilion. Tetapi kalau kita campurkan penggunaan wang KWAN yang diambil kerajaan semasa darurat tanpa kebenaran Parlimen iaitu sebanyak RM5 bilion untuk vaksin, anggaran Menteri Kewangan jauh terpesong sebanyak RM20.9 bilion.
“Mungkin Tuan Speaker tertanya, apa salahnya kerajaan terpesong anggaran hasil ini? Tuan Speaker ini adalah salah yang besar,” katanya dalam sesi balas Belanjawan 2022, petang tadi.
Menurut Wong Chen, reputasi dan imej Kementerian Kewangan akan terjejas dan bakal memberi impak negatif ke atas sentimen pelaburan asing dan tempatan
“Anggaran asal hasil asal 2021 RM221.06 bilion terlalu otipmistik sehingga 9.4%.
“Ini bukan salah anggaran 1 – 2% lagi. Ini kesalahan besar. Di dunia koporat kalau anggaran pendapatan syarikat kurang 9.45%, syarikat itu akan kena siasatan, saham akan jatuh teruk dan kemungkinan besar CEO akan letak jawatan atau kena pecat
“Selain imej negara terjejas, apakah impak kerajaan membuat anggaran jauh terpesong?
“Kalau kerajaan buat anggaran yang salah ia akan memberi impak terhadap kerja operasi dan aliran tunai kerajaan. Sistem pentadbiran akan kelam kabut, setiap bulan kena cari duit.
“Nak bayar kontraktor dan pembekal pun lambat. Majoriti kontraktor dan pembekal ini adalah orang berniaga kelas Bumiputera,” katanya.
Menurut Wong Chen yang juga salah seorang wakil Pakatan Harapan dalam libat urus bersama Menteri Kewangan merangka Belanjawan 2022, salah anggaran boleh menyebabkan operasi kerajaan tergendala.
“Bila operasi kerajaan tergendala maka rakyat yang akan susah, pejawat awam kena maki pula.
“Di kawasan saya, di Subang, saya dengar keluhan penjawat awam. Mereka kata YB bukan kita tak nak baiki tetapi tak ada bajet. Bukan tak nak tolong tetapi tak ada bajet.
“Saya simpati dan empati dengan mereka kerana masalah mereka bermula di dewan yang mulia ini, apabila kita sebagai Ahli Parlimen gagal menyemak dan memperbaiki bajet ini dan Menteri Kewangan pula tak nak dengar amaran dan pandangan kita,” katanya lagi.