Terkejut pula aku bila ada isu komen rasis ditalakan kepada pemain badminton perseorangan wanita negara. Pelik sebenarnya. Setelah lebih 60 tahun merdeka, mengapa minda rasis begini masih wujud?
Tambah terkejut bila Menteri Belia dan Sukan buat kenyataan kecam komen rasis tersebut. Kenapa aku terkejut? Sebab dia dan partinya adalah pihak yang bertanggungjawab menyemarakkan semangat rasis di kalangan rakyat.
Mereka gunakan alasan rasis untuk khianat mandat rakyat. Mereka gunakan sentimen kaum untuk hasut rakyat. Mereka gunakan isu perkauman untuk tutup mata rakyat terhadap kecurangan mereka dalam memerintah.
Hari ini bila rakyat tanpa ragu menzahirkan sifat perkauman, dia nak kecam pula? Ini bukan lagi ketam ajar anak berjalan lurus. Ini babi ajar anak untuk bersamak.
Komen rasis itu hanya satu daripada pucuk hasil benih perkauman yang ditanam oleh ahli-ahli politik songsang terhadap rakyat dalam usaha untuk meraih kuasa. Jadi tak usahlah pura-pura marah. Ini hasil usaha kamu juga.
Ahli politik perlu berhenti bermain isu kaum. Mereka kena sama berusaha untuk menyatu-padukan rakyat demi kebaikan negara. Tapi pada hari ini, aku tak nampak itu akan berlaku. Kerana mereka lebih pentingkan kuasa berbanding kepentingan negara.
Selagi rasisme masih menjadi senjata politik, selagi itulah negara kita tak akan menjadi lebih baik.