TOLAK ELAUNS DAN GAJI BERTARAF MENTERI ,TERNYATA ANWAR BUKAN KAKI MAKAN DEDAK

 

Sementara setuju dengan tawaran kerajaan tentang jawatan Ketua Pembangkang dinaikkan kepada taraf menteri, Anwar Ibrahim yang sekarang menyandang jawatan tersebut sebaliknya menolak semua gaji dan elaun kenaikan yang diberikan itu.

Berikut adalah gaji, elaun serta kemudahan sebagai Ketua Pembangkang bertaraf menteri yang ditolak Anwar:-

• RM14,907.20 gaji bulanan

• RM12,320 sebulan elaun keraian

• RM1,500 sebulan bayaran khas

• RM4,000 sebulan elaun rumah

• RM833 sebulan elaun selenggara rumah

• RM6,000 elaun pakaian panas (sekali dalam tiga tahun)

• RM1,500 elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam tiga tahun)

• RM1,500 elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam tiga tahun)

• Sebuah kereta rasmi serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi.

Pengerusi PH dan Presiden PKR itu mengumumkan semua gaji dan elaun yang tidak setuju diterimanya itu akan diserahkan kepada tabung rakyat miskin.

Menaikkan jawatan Ketua Pembangkang setarat menteri adalah antara beberapa perkara yang dipersetujui dalam MOU transformasi dan kestabilan politik antara PH dengan kerajaan yang ditandatangani sebaik Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.

Oleh kerana MOU itu mengandungi persetujuan yang memberi nikmat dunia secara langsung kepada Anwar atas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, seperti juga penyokong Perdana Menteri yang menerima jawatan lain yang bertaraf menteri, pelbagai pihak terlihat mula mengkritiknya kerana dianggap telah menerima dedak daripada kerajaan.

Kata mereka, patutlah MOU itu begitu cepat ditandatangani kerana ia ada ganjaran secara langsung masuk ke poketnya.

Tetapi, dengan Anwar mengumumkan menolak segala gaji dan elaun bertaraf menteri yang sepatutnya beliau terima itu, ia dengan sendirinya mengesahkan beliau bukanlah seorang kaki dedak.

Sejarah panjang perjuangannya selama ini, jika kita singkap, dengan mudah membuktikan beliau sebenarnya tidak hairan pun dengan dedak, walhal jika itu kemahuan dan keinginannya dalam hidup dan menyertai politik, sudah lama beliau dan keluarganya tidur di atas tilam berlapikkan duit yang berkoyan-koyan.

Namun, itu bukanlah matlamat serta keinginan, bukan saja kepada Anwar, tetapi juga kepada isteri dan didikan kepada anak-anaknya.

Dengan gaji dan pelbagai elaun yang ditolaknya kini, beliau boleh dikata menjalankan tugas serta peranannya sebagai Ketua Pembangkang dengan percuma dan tidak sesekali untuk meraih nikmat peribadi.

Apa yang beliau perjuangkan sebenarnya tidak lain ialah untuk mengangkat jawatan Ketua Pembangkang itu agar diberi pengiktirafan sewajarnya seperti di banyak negara demokrasi lain di dunia ini.

Selebihnya, ini juga suatu perjuangan Anwar dan PH untuk kesejahteraan serta keselesaan mereka yang memegang jawatan Ketua Pembangkang selepas ini.

Begitu pun, jika kita perhati, tanpa semua ganjaran itu beliau tetap berperanan dengan baik serta sangat berkesan di Parlimen, malah merupakan Ketua Pembangkang yang terbaik setakat ini.

Kritikan kepada kerajaan, membela rakyat dan mengangkat isu-isu sejagat tetap menjadi keutamaan serta matlamat perjuangannya.

Selain telah banyak perkara diperjuangkannya selama ini, terbaru dalam isu Pandora Papers misalnya, kesungguhan dan kegigihan Anwar bercakap di Parlimen mengenai hal itu jelas memperlihatkan kesungguhannya sehingga akhirnya siasatan sudah pun bermula dan Ismail Sabri sendiri turut memberi jaminan tentang kebebasan siasatan yang bakal diadakan.

Dengan sikap Speaker yang bak peguambela dan usulnya pula ditolak begitu saja, manakala suara di pihak kerajaan dan pejuang Islam tidak kedengaran apa-apa, beliau terus bersuara dan tidak mudah mengalah agar Pandora Papers itu ada tindakan penyelesaian akhirnya.

Itulah Anwar yang hanya Ketua Pembangkang jawatannya, bayangkan jika sosok punya jiwa segagah ini dan tidak pula gila harta, dapat menerajui negara dan memperjuangkan nasib kita sebagai rakyat yang perlukan pembelaannya? – ShahbudinHusin 17/10/2021.