Oleh FAZLI RADZI / October
8, 2021
Pakatan Harapan (PH)
Melaka telah menghantar warkah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)
kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi.
Pengerusinya Adly
Zahari, berkata warkah itu dihantar jam 5.50 petang oleh bekas Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan bekas
ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad.
“Warkah berkenaan diterima
oleh Wakil Urusan Diraja Istana Negara Ahmad Hanafi Yahya,” katanya yang
merupakan bekas Ketua Menteri Melaka.
Adly yang juga Pengerusi
AMANAH Melaka dan Naib Presiden parti itu berkata surat tersebut ditandatangani
oleh beliau, Norhizam, Noor Effandi, bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris
Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Warkah tersebut dihantar untuk
memohon ihsan dan kebijaksanaan Seri Paduka untuk menasihati Yang Dipertua
Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam agar menarik balik tindakan membubarkan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu.
Antara
lain, isi kandungan warkah itu menyebut selaras dengan Perkara 8.2(b)
Perlembagaan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali tidak mempunyai budi bicara untuk
mempersetujui permintaan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi
membubarkan DUN.
Adly menegaskan hal tersebut
harus dielak kerana telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) semasa
usaha membendung wabak Covid-19 masih berada di tahap pemulihan sekali gus
mengancam nyawa rakyat dan ekonomi negara ketika pandemik belum terkawal
sepenuhnya.
“Yang
Dipertua Negeri sepatutnya menjalankan proses pertemuan dengan semua 28 ADUN
untuk menentukan kehilangan sokongan majoriti ADUN ke atas Ketua Menteri dan
kepunyaan sokongan majoriti ADUN ke atas ADUN yang dicalonkan oleh kami
mengikut Perlembagaan Negeri Melaka (Proses Penentuan Ketua Menteri).
“Proses Penentuan Ketua
Menteri tidak sepatutnya dilaksanakan dengan cara tergesa-gesa terutama sewaktu
Yang Dipertua Negeri menjalani kuarantin kendiri dari 30 September hingga 7
Oktober,” tambahnya lagi.