Tambun milik PKR, Anwar dijemput bertanding PRU 15
Kerusi Parlimen Tambun, Perak merupakan kerusi tradisi KEADILAN sejak beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Tambun, Ashraf Kahasani berkata, kenyataan media pemimpin DAP Dr Aziz Bari baru-baru ini menggambarkan kerusi berkenaan bukan milik mana-mana parti dan beliau berhasrat untuk bertanding di sana perlu diperbetulkan.
Katanya, merujuk kepada situasi sebelum PRU 14, kerusi berkenaan telah dipinjamkan kepada Bersatu, maka apabila parti itu meinggalkan Pakatan Harapan (PH), KEADILAN secara automatik memiliki semula kerusi Tambun.
“Parlimen Tambun adalah milik KEADILAN, kita berharap Dr Aziz Bari memperbetulkan kenyataan beliau sebelum ini kerana KEADILAN hanya meminjam kerusi berkenaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-14.
“Apabila Bersatu telah khianati PH maka secara prinsipnya Tambun kekal kepada KEADILAN dan persoalan ini tidak berbangkit. Apabila Ahli Parlimen Tambun tidak lagi menjadi sebahagian PH maka KEADILAN Cabang Tambun telah menjalankan aktiviti serta program peringkat Parlimen untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin,” katanya.
Tekad KEADILAN untuk bertanding di Tambun, menurut Ashraf, diperkuatkan lagi dengan usul yang dibuat oleh Cabang Tambun, AMK dan Wanita untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRU 15.
“Pada Mesyuarat Agung Tahunan (MATC) Cabang Tambun tahun 2020, AMK Tambun dan WANITA telah membawa usul serta diluluskan sebulat suara di mana kerusi tersebut pada PRU-15 adalah kekal untuk KEADILAN dan mencadangkan tiga pemimpin sebagai calon, iaitu pertama Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador dan ketiga Ketua Cabang Tambun YB Muhamad Arafat.
“Justeru itu, kami berharap mana-mana pemimpin selain nama yang disetujui dalam MATC tidak perlu membuang masa dengan harapan untuk bertanding dan boleh menang di Parlimen Tambun,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Ashraf, AMK Tambun yakin keputusan pucuk pimpinan akan menepati aspirasi akar umbi dan menghormati suara Cabang kerana semua calon boleh bertanding tetapi yang lebih penting adalah kemenangan yang memerlukan kerjasama serta sokongan akar umbi.