‘Sepanjang 22 bulan, keutamaan kita sentiasa rakyat’

 



Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH / October 23, 2021

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari memberitahu sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, gabungan itu tidak pernah lari dari kesedaran memikul tanggungjawab membantu rakyat.

Beliau berkata, banyak inisiatif yang digerakkan PH seperti program perumahan rakyat yang diberikan secara percuma kepada penduduk Melaka dan 100 buah rumah sudah pun siap ketika gabungan itu mentadbir.

Menurutnya, beliau menyedari bahawa anak muda yang mula membina kehidupan mahukan rumah dan ramai penduduk di Melaka sendiri sukar membeli rumah pertama mereka.

“Keutamaan kita adalah rakyat sepanjang 22 bulan mentadbir. Antara aspek penting adalah perumahan rakyat yang kami bina dengan harga RM37,500. Kita juga beri rumah percuma. Apa ruginya kita?

“Kita mahu tolong rakyat. Kita buat Rumah Berkat, sewa hanya RM150. Ada yang tanya, betul ke Yb bagi rumah percuma. Ya. Kita luluskan 100 rumah dan sudah siap. Sepatutnya kita siapkan 500 rumah. Dapat percuma,” katanya dalam sesi Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Dun Telok Mas malam ini.

Pada masa sama, Adly berkata, salah satu agenda di masa hadapan yang akan direalisasikan PH adalah menyediakan lebih banyak perumahan untuk rakyat dengan kadar sewaan lebih rendah sekitar RM150 sehingga RM200 sebulan.

Sementara itu, Adly turut menegaskan bahawa kerenah birokrasi yang dihapuskan semasa pentadbirannya dahulu, tidak seharusnya dilaksanakan semula kerana ia antara faktor yang menyusahkan hidup rakyat.

Beliau menyentuh bagaimana rakyat perlu melalui pelbagai proses kelulusan hanya mahu mendapatkan bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun proses itu semua telah dihapuskannya sebelum ini bagi memudahkan rakyat yang seharusnya layak dibantu.

Menurutnya, jiwa pemimpin yang tidak memahami permasalahan rakyat menyebabkan rakyat terus susah.

“Jiwa kita ini tak ada pada rakyat. Contohnya pasal pemberian bakul makanan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Ketua Menteri memang tidak ada jiwa untuk rakyat.

“Dulu semasa rakyat susah akibat pandemik Covid-19, dia bagi 100 bakul makanan. Bila masuk fasa 2 dan 3, rakyat dah keluar berniaga dan bekerja, kerajaan luluskan pula 1,000 bakul.

“Kita mesti buang kerenah birokrasi. Sistem demokrasi dah jauh menyimpang. Tugas kerajaan cari di mana orang susah. Kalau peruntukan wakil rakyat RM300,000 dan wang di Jabatan Kebajikan ada RM76juta, sepatutnya siapa perlu cari orang susah? JKM, iaitu pelaksana jentera kerajaan,” ujarnya lagi.