Sekolah selamat: 95% guru telah divaksin
Sesi pembukaan sekolah pada Oktober 2021 dianggap selamat apabila kira-kira 95% guru dan 92% kakitangan sekolah telah divaksin sepenuhnya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin secara bertulis menyatakan angka yang telah divaksinasi dalam kalangan petugas di sekolah.
“KPM menetapkan hanya guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) yang lengkap divaksin sahaja melaksanakan PdP (pengajaran secara fizikal) di dalam kelas dan berikteraksi dengan murid
“Sehingga 7 Oktober 2021 sebanyak 393, 096 guru (95.1%) telah divaksin manakala 62,248 AKP (kakitangan) (92%) lengkap divaksin.
“KPM turut mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah termasuk murid,” kata kenyataan itu.
KPM juga, menurut kenyataan berkenaan memantau Program Vaksinasi Remaja Covid 19 Kebangsaan.
Selain itu, bagi mengelakkan suasana kesesakan dan penularan Covid, kementerian melaksanakan waktu pulang sekolah anjal dan tidak dibenarkan semua murid keluar serentak.