PRN Melaka: Pimpinan PKR perlu ketengah calon berwibawa - Generasi Keadilan

 


Hafizi Rosli
PRN Melaka: Pimpinan PKR perlu ketengah calon berwibawa - Generasi Keadilan
Yusmadi menjelaskan PKR mempunyai satu generasi anak muda yang sudah dewasa di dalam perjuangan reformasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengenengahkan bakat-bakat berwibawa dan beretika dari kalangan ahli-ahli parti bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhir bulan depan.
Pengerusi Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia (Generasi Keadilan) Yusmadi Yusoff berkata, PKR mempunyai satu generasi anak muda yang sudah dewasa di dalam perjuangan reformasi.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan, ramai dalam kalangan penyokong-penyokong setia parti yang boleh diberi peluang sebagai pemimpin rakyat.
"Bakat-bakat dalaman perlu dibimbing oleh pimpinan berpengalaman di dalam pilihan raya yang akan datang.
"Pimpinan parti tidak perlu tergesa-gesa melihat bakat-bakat luar yang belum teruji kesetiaan dan kefahaman mereka terhadap perjuangan dan dasar parti," katanya dalam muat naik di laman Facebook.
Yusmadi juga menggesa PKR menolak mana-mana calon yang tidak mengamalkan etika politik yang baik atau tidak menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.
"Ia termasuk menolak mana-mana Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) daripada PKR yang tidak efektif berkhidmat sebelum ini," ujarnya.
Generasi Keadilan, jelasnya, komited dan bersedia untuk membantu PKR mencapai kemenangan di dalam pilihan raya itu nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya pada 18 Okt lalu menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka ialah pada 8 Nov dan tarikh mengundi, 20 Nov.
Sumber Facebook yusmadiformalaysia