Shuhada Abdul Kadir
Oktober 11, 2021
Pertembungan dijangka berlaku pada Pilihan Raya Negeri Melaka jika perbincangan antara parti-parti berkenaan gagal mencapai sebarang bentuk kerjasama. - Gambar fail
AYER KEROH: Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertembungan di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kelak.
Menurut beliau, perkara itu dijangka berlaku jika perbincangan antara parti-parti berkenaan gagal mencapai sebarang bentuk kerjasama.
"Saya dapati makluman yang kita terima kedua-dua parti ini terutama oleh Pengerusi BN dan Pengerusi PN nampaknya belum ada satu kemungkinan boleh merundingkan satu formula yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.
"Masing-masing tidak dapat terima syarat-syarat dan kandungan yang akan dibincangkan itu, jadi saya fikir bahawa untuk pertama kali dalam sejarah politik negeri Melaka, PRN akan datang akan ditandingi oleh tiga parti yang besar ini iaitu PN, BN dan PH.
"Saya percaya ini boleh diterima oleh rakyat disebabkan ia merupakan satu peluang bagi rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka ingini dari banyak pilihan," kata Abdul Rahim dalam sidang media yang diadakan di sini, pada Isnin.
Tambah Abdul Rahim, rakyat juga mendapat peluang terbaik untuk membuat penilaian dalam memilih parti politik berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.
"Sekurang-kurangnya tiga pilihan ada di situ dan rakyat boleh membuat penilaian yang baik di antara ketiga parti dari segi prestasinya dari segi rekod kerjanya, integriti, komitmen, berbagai-bagai perkara yang akan dipertimbangkan dan mungkin untuk negeri ini dan Malaysia.
"Kita mungkin boleh memilih satu parti yang lebih dominan daripada apa yang berlaku sekarang, yang berlaku sekarang ini tidak dominan, kesemua parti mempunyai majoriti yang kecil, menyebabkan kerajaan menjadi lemah tidak stabil dan selalu dipersoalkan oleh ramai pihak," tegas beliau lagi.
Meskipun beberapa episod kemelut politik berlaku di negara ini, namun, Abdul Rahim percaya rakyat bakal memilih parti yang berwibawa dan integriti dalam menjamin agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.