Pirane Melaka: PH lebih tenang dan bersedia


 MSO  MOHD SAYUTI OMAR



Adly dinamakan sebagai KM
oleh PH.

TINGGAL 11 hari sahaja lagi proses penamaan calon untuk pilihan raya negeri (Pirane) Melaka akan berlangsung. SPR telah menetapkan 8 November hari penamaan calon manakala hari pengundian 20 November

Saat ini parti-parti politik yang berhajat untuk mengambil bahagian sedang berkira dan membuat perhitungan rapi bagi memuktamad apa yang akan dilakukan. Walaupun ada khabar beberapa parti menyatakan hasratnya untuk mengambil bahagian, tetapi pertarungan sudah pasti akan berlaku antara tiga komponen utama, Umno-Barisan Nasional (UBN), Pakatan Harapan (PH) dan PPBM Perikatan Nasional (PN)

Bagi PH komponen tersebut tidak ada apa-apa masalah yang timbul dan berbangkit ketika ini. PH yang terdiri daripada Keadilan, DAP dan Amanah nampak sepadu dan cukup yakin. Tidak ada apa-apa masalah yang mengucar-kacirkan perpaduan komponen itu. Bahkan semangat mereka untuk menghadapi pilihan raya itu sungguh tinggi.

Sedikit masalah yang tercetus sebelum ini sudah diselesaikan dengan baik.  Ia berkenaan cadangan untuk menerima empat orang Adun yang menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan kerajaan UBN tumbang untuk bertanding atas nama PH sudah dimuktamadkan. 

Keempat-empat Adun itu, Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hasan Baktee (Pengkalan Baru) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Mulanya keempat-empat mereka berhasrat untuk bertanding semula menggunakan lambang PH, tetapi Pimpinan PH mengambil keputusan menolak cadangan itu selepas dibantah berbagai pihak.

Persiapan nama-nama calon PH untuk diletakkan di 28 kerusi sudah hampir selesai. Menurut Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang dilantik menjadi pengarah pilihan raya, pembahagian kerusi antara sesama PH juga sudah selesai 90%. Tinggal lagi 10% lagi. Ertinya PH berada dalam keadaan terbaik dan bersiap siaga.  

PH juga mendahului komponen lain apabila telah tegas dan sepakat untuk menamakan Pengerusi Amanah Melaka itu sebagai Ketua Menteri sekiranya PH menguasai Pirane itu. DAP yang merupakan komponen PH yang berpengaruh di Melaka telah menamakan Adly sebagai ketua menteri. DAP bertindak tangkas mengunci perkara itu dan ia tidak berani dibantah Keadilan. Suasana ini menunjukkan PH berada dalam kondisi cukup padu.  

Jadi ringkas cerita, PH tidak mempunyai apa-apa masalah lagi untuk berhadapan dengan Pirane Melaka, mereka menunggu sahaja proses seterusnya.

Berbeza dengan komponen UBN yang belum memastikan apakah komponen itu akan bertanding secara solo atau pun akan bermuafakat dengan Pas. Masalah inilah yang membelenggu UBN dan meletakkan gabungan itu masih kelam kabut. 

Malam tadi BN telah meluncurkan jentera pilihan raya di PWTC yang disempurnakan oleh presiden Umno dan juga pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi. 

Semasa berucap di majlis itu, sekali lagi Zahid menegaskan yang UBN tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PBBM (PN). Kenyataan Zahid itu tegas dan keputusan itu menurutnya diambil kerana kehendak akar umbi. PAU telah memutuskan bahawa tidak ada kerjasama dengan PBBM. Jika Zahid dapat diyakini maka pemutusan kerjasama dengan PPBM itu muktamad.

Bagaimana pun Zahid tidak menyatakan sikap dan pendirian UBN dengan Pas yang merupakan rakannya dalam Muafakat Nasional (MN). Pas selain bersama Umno ia juga bersama PBBM dalam PN. Situasi ini merumitkan UBN dan Pas sendiri. UBN pastinya kecewa dengan sikap Pas itu yang boleh dianggap telah tidak jujur kepadanya. 

Bukan sahaja UBN, tetapi Pas sendiri juga terjepit dengan keadaan dan formula politik Machiavellinya yang bermain dua kolam itu. Pas dalam keadaan serba salah sementara usahanya untuk menjadi mediator merapatkan UBN dan PPBM gagal. Pas kini sudah kelemasan di darat serta menyusahkan PBBM dan Umno.

Bagaimana pun kalau Pas tetap dengan formulamnya untuk bermain dua kolam, sudah tentu ia tidak dapat diterima oleh Umno. Ini bermakna muafakat dan piagam MN yang dimeterai berakhir dan lebur. 

Formula dan percaturan Pas agak pelik dan kompleks. Parti agama itu mengambil pendirian menyokong kedua-duanya, pada satu masa. Ini yang membingungkan. Macam mana kalau berlaku pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan UBN dan PPBM. Apakah formula atau hadith yang akan digunapakai Pas untuk menyelesaikan ini?

Apakah Pas akan membagikan dua sokongan dan undinya kepada Umno dan PPBM? 

MT Umno akan bermesyuarat malam ini khabarnya akan membuat keputusan muktamad bersabit sikap mereka terhadap hubungan dengan Pas itu. Mereka mungkin akan memberi kata dua kepada Pas tentang pendirian songsang parti agama itu. Dengan kesungguhan dan keyakinan Umno dapat tawan Melaka, mungkin Umno tidak akan pedulikan Pas lagi.

Sikap dan pendirian diambil UBN itu juga secara tidak langsung memberi masalah kepada PPBM (PN). Presiden PBBM Mahiaddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan yang partinya akan bertanding di kesemua 28 kerusi. Kenyataan ini menjelaskan bahawa PBBM juga tidak berharap kepada kerjasama dengan BN. Jika Umno mengerti maksud kenyataan itu ia adalah ketegasan dan rasa tidak hairan PBBM kepada Umno. 

Sehubungan itu Pas dilihat cenderung untuk bersama PN berbanding dengan Umno apabila parti itu ikut sama dalam mesyuarat majlis pimpinan PN. Kehadiran Pas dalam mesyuarat itu menjelaskan Pas sudah "bulat bergele" dengan PN.

Bukan itu sahaja, Pas juga mengatakan mereka akan ikut bertanding menggunakan lambang PN. Dengan Pas sanggup meninggalkan simbol keramatnya bahawa sudah jelas Pas bersama PN. Kenyataan itu memberi makna bahawa Pas akan bersama PN. Walaupun ada suara-suara kecil dalam Pas minta perkara itu diperhalusi, tetapi nampaknya ia seperti sudah dicapai persetujuan kerana, ulama besar pas tidak membantah cadangan itu.

Langkah dan keputusan Pas untuk bersama PN itu juga turut sama menjejaskan ketenangan dalam Pas. Tindakan Pas itu ditolak oleh mereka yang selama ini mahukan Pas bersama Umno bukannya PPBM. Kesimpulannya formula sonsang Pas itu bukan sahaja mendatangkan masalah kepada kedua rakannya Umno dan PPBM tetapi ikut sama meretakkan persefahaman dalam parti itu. [wm.kl. 11:32 am 28/10/2021] * tanpa edit.