Kurangkan pertelagahan, semua parti pembangkang diharap tandatangan MoU, kata PM
PETALING JAYA: Semua parti pembangkang diharapkan dapat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan agar isu politik dan pertelagahan dapat dikurangkan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail berkata, beliau berpuas hati dengan perubahan di Parlimen yang disifatkannya lebih tenang dan profesional dengan saling menghormati antara satu sama lain.
“Saya tengok keadaan tenang di Parlimen, secara profesional, tidak ada banyak gangguan, jerit-menjerit seperti dahulu lagi. Keadaan tenang. Kita saling menghormati antara satu sama lain,” katanya menerusi wawancaranya yang pertama sebagai Perdana Menteri ke-9.
Tambahnya, keharmonian di antara pihak pembangkang dan kerajaan turut dirasai bukan sahaja ketika di dalam Parlimen, malah di luar juga.
“Objektif kita tandatangani itu supaya tidak ada lagi terlalu banyak politiking, pertelagahan, akhirnya membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh tenaga kita, untuk negara.
Ismail menandatangani MoU bersama pemimpin Pakatan Harapan bulan lalu untuk kerjasama demi kestabilan dan transformasi politik.
Bagaimanapun, Pejuang pimpinan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dan Warisan di Sabah pimpinan Shafie Apdal tidak menandatanganinya.
Ismail berkata perbincangan masih berlangsung dan sudah ada dalam kalangan pihak pembangkang bersetuju menandatangani MoU dengan kerajaan.
Menurutnya, kehadiran pihak pembangkang yang berperanan sebagai semak dan imbang amat diperlukan oleh kerajaan dalam setiap pelaksanaan yang dibuat.
“Tetapi perbincangan sedang berjalan. Dalam kalangan mereka ada yang sudah bersetuju.
“Sasaran saya semua parti pembangkang menandatangani. Inklusiviti bukan setakat kaum, agama dan sebagainya, tapi dari segi fahaman politik. Kita sama-sama membina negara,” katanya.
Ismail dalam pada itu, turut mengucapkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana mencadangkan agar kerajaan dan pembangkang bekerjasama.
Ditanya mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dirinya sendiri, Ismail berkata bahawa rakyatlah yang akan menentukan KPI dirinya.
“Pertama rakyat ingin melihat isu Covid-19 diselesaikan. Kedua rakyat mahu ekonomi dipulihkan supaya mereka dapat jalani kehidupan lebih baik berbanding pandemik.”
Ismail berkata, beliau ingin melihat semua rakyat hidup sebagai satu keluarga, melupakan perbezaan agama, kaum, malah fahaman politik agar dapat bersama-sama berganding bahu membangunkan Malaysia.