Shahidan jadi ejen propaganda Bersatu dalam UMNO – Syed Atif
Datuk Seri Shahidan Kassim.
KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO Bahagian Arau yang mencadangkan
agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka bekerjasama dengan Perikatan
Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuat atas kapasiti
peribadi ketuanya, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Perkara itu disahkan sendiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar sambil membidas sikap bosnya itu yang
didakwa lebih menyebelahi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Sebagai AJK (Ahli Jawatankuasa ) UMNO Bahagian Arau, saya
mengesahkan bahawa tiada perbincangan dalam perkara ini. Cadangan ini hanya
bersifat individu dan tidak sama sekali melibatkan UMNO Bahagian Arau… Tak
habis-habis nak jadi ejen propaganda Bersatu dalam UMNO,” katanya menerusi
akaun Facebooknya hari ini.
Menurut Shahidan, kemenangan akan dicapai
dengan cemerlang melalui kerjasama dan perpaduan wajib bagi UMNO Melaka.
“Pendekatan secara solo adalah tidak wajar..itu sahaja,” katanya
yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Syed Atif juga
menasihatkan Shahidan supaya percaturan politik perlu diserahkan ibu pejabat
UMNO Malaysia atau Badan Perhubungan UMNO Negeri.
“Datuk Seri (Shahidan) boleh Whatsapp Pengerusi Perhubungan
untuk berikan pandangan dan cadangan secara dalaman. Jika semua ketua bahagian
nak campur tangan hal tempat lain dengan sesuka hati, ianya akan menimbulkan
kekeliruan dalam kalangan ahli dan pimpinan,” katanya.
Menurutnya, sekiranya tindakan itu terus dilakukan secara
terbuka, ia hanya akan menimbulkan polemik hingga menyebabkan ada pihak akan
menuntut penjelasan.
“Lebih panjang penjelasan, lebih banyaklah perbahasan; dan akhirnya, strategi parti untuk berhadapan dengan PRN Melaka akan terdedah,” katanya lagi.