Seorang ulama kanan PAS hari ini ‘mentarbiah’ Pemuda Umno berhubung isu hubungan di antara kedua-dua parti yang ketika ini dilihat tidak menentu.
Anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik berkata apabila Tuhan memberi peluang untuk sesuatu pihak menjadi insaf, peluang tersebut perlu direbut segera.
Peluang itu juga kata Mokhtar berupa kesempatan mengenal rakan dan lawan.
Dia juga mengingatkan bahawa kesombongan hanya akan mengundang kehinaan kepada pihka terbabit.
“Ingat, sekali lagi kita sengaja menyombongkan diri atas peluang yang Allah beri maka Allah akan timpakan kehinaan tiada tiada lagi kemuliaan yang tersisa dan berbaki,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini, lapor Malaysiakini.
Mengiringi kenyataan itu adalah tangkap layar laporan media yang memetik kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Berita itu bertajuk “60 tahun Umno bertanding sendiri, tak ada masalah nak menang: Asyraf” yang melaporkan pandangan pemimpin kanan Umno menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Melaka pada bulan depan.
Laporan Agendadaily itu menyatakan Umno dan BN tidak berdepan masalah untuk memenangi PRN Melaka walaupun perlu bergerak tanpa kerjasama parti lain.
“Kita (Umno) telah bertanding sendiri selama lebih 60 tahun sebagai BN.
“Atas asas itu, saya tak fikir kita akan berdepan masalah sangat (untuk melakukannya),” katanya.
PAS kini bertegas mahu mempertahankan kerjasama mereka dengan Umno dalam Muafakat Nasional dan pada masa sama kekal dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama Umno pula bertegas enggan bekerjasama dengan Bersatu yang dipimpin oleh bekas timbalan presiden mereka.
Umno juga pernah memberi gambaran bahawa parti itu terkilan dengan tindakan PAS membuat keputusan sendiri untuk menyertai PN walaupun ketika itu mereka sudah memeterai piagam bersama.