Apa
pun keputusan Pas, itu hak mereka – Muhyiddin
By
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin
bercakap pada sidang media Majlis Minum Petang sambil Sembang Santai bersama
Profesional Negeri Melaka di Hotel Mudzaffar Ayer Keroh Melaka. Foto AMIRUL
SHAUFIQ 29 OKTOBER 2021.
AYER KEROH – Perikatan Nasional (PN) tidak akan mencampuri
urusan parti komponennya Pas yang akan memuktamadkan usaha memperkukuhkan
Muafakat Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia terpulang
kepada rakan politiknya itu untuk membuat pertimbangan sewajarnya bagi
memastikan ia tidak memberi menjejaskan PN dalam menghadapi PRN Melaka.
“Saya serahkan kepada Pas untuk membuat
keputusan apa, kami sudah bincang dengan panjang dalam mesyuarat. Apa pun Pas
nak putuskan itu adalah hak mereka, saya harap mereka akan memberikan
pertimbangan yang semasaknya.
“Ia supaya strategi kita menghadapi pilihan raya ini tepat,
tidak timbul satu situasi ketidaktentuan yang mungkin akan membawa kesan kepada
penyertaan kita di Melaka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pas dijangka membuat keputusan getir sama ada mahu
memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan bersama UMNO atau sebaliknya
dalam Muktamar Pas Tahunan ke-67 bermula dengan ketiga-tiga sayap hujung minggu
ini.
Ia susulan keputusan Majlis Tertinggi
UMNO semalam yang sebulat suara mahu meneruskan persefahaman dengan Pas bagi
menghadapi PRN Melaka.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata,
pendirian itu selaras ketetapan perhimpuan agung parti itu tahun lepas, antara
lain untuk memperkukuhkan MN yang dibentuk antara dua parti itu. –
MG