Kerjasama UMNO-Bersatu pakatan yang salah, ia takkan lama – Tun M

 MGF25102021__PC-PEJUANG-TUN-M21

By

 Muhammad Azizul Osman

 -

 26 October 2021

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas sidang media khas di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kerjasama yang dibina antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah antara dua parti yang salah.

Menurut beliau, kerjasama itu terbukti tidak bertahan lama seperti yang berlaku kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini adalah pakatan antara orang-orang yang salah, dia takkan tahan lama.

“UMNO sudah jatuhkan Bersatu, Muhyiddin juga dijatuhkan, jadi sekarang kita nak tengok apa lagi yang UMNO nak jatuhkan. Jangan UMNO pula yang jatuh merudum,” katanya dalam sidang media di Yayasan Al Bukhary, hari ini.

Bekas Perdana Menteri  itu mengulas pertanyaan mengenai kerjasama antara UMNO dan Bersatu yang akhirnya terlerai ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ia semakin jelas diperlihatkan apabila UMNO – Barisan Nasional (BN) kemingkinan besar memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

PRN julung kali diadakan di Melaka itu dijangka sengit di kebanyakan kerusi DUN akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada UMNO-BN, PN dan PH.

Jangkaan itu adalah berikutan pendirian yang diambil ketiga-tiga parti berkenaan yang berhasrat untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN selain kegagalan mencapai kata sepakat antara BN dan PN. –  MG