MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka akan berjumpa Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bagi mempersembahkan bahawa kerajaan negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah hilang majoriti.
Ia susulan tindakan ‘berpaling tadah’ empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menyatakan hilang kepercayaan kepada pimpinan sedia ada.
Pengerusi PH Negeri Melaka, Adly Zahari memaklumkan kestabilan politik merupakan asas utama dalam berhadapan pandemik COVID-19 ketika ini.
“Kini jelas bahawa Sulaiman telah hilang kepercayaan majoriti ADUN untuk terus mentadbir kerajaan negeri.
“Ia selaras dengan peruntukan perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka yang menyatakan ‘jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN, maka hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat,” katanya dalam sidang media khas, di sini hari ini.