Audio tular pertikai Hadi: Hashim nafi Pas ada pergolakan dalaman
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menafikan parti itu berdepan dengan pergolakan dalaman selepas tular klip audio yang didakwa rakaman percakapan pemimpin kanan mereka yang berasa bimbang terhadap sikap Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi merupakan presiden PAS merangkap ahli parlimen Marang dan duta khas perdana menteri.
Hashim ketika dihubungi Malaysiakini berkata parti itu berada dalam keadaan baik dan jika ada wujud perselisihan faham dalam kalangan pemimpinnya, ia adalah perkara biasa.
Pada masa sama Hashim mendakwa dia tidak tahu-menahu mengenai kewujudan audio berkenaan.
“Saya pun tak tahu adanya audio tentang perkara itu, saya pun tak dengar audio itu dan tak tahu apa yang berlaku. Jadi, agak mustahil untuk saya ulas,” katanya.
Ditanya kemungkinan audio itu menggambarkan secara tidak langsung wujud perseteruan di antara pihak tertentu dalam kalangan pimpinan PAS, Hashim berkata, tidak ada apa-apa pergolakan dalam parti tersebut.
“Pergolakan dalaman? Bergolak apa? Saya rasa tak ada apa bergolaknya.
“Kalau (pun) ada perselisihan pendapat, itu perkara biasa, tak boleh kita nak katakan pergolakan dalam PAS,” katanya.
Tak ada bangkang dalam PAS
Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkaitan parti itu yang didakwa mengalami pergolakan dalaman membabitkan sekurang-kurangnya dua kumpulan dalam PAS.
Kelmarin, satu klip audio ditularkan di media sosial yang didakwa rakaman percakapan pemimpin kanan PAS yang bimbang terhadap sikap presiden mereka.
Menurut rakaman audio berkenaan, individu terbabit mendakwa Abdul Hadi percaya Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding BN namun pada masa sama tetap mahu “meraikan” gabungan yang didominasi Umno itu.
“Ayat itu Tok Guru (Abdul Hadi) selalu ulang pada ungkapan, tetapi pada praktikalnya, tidak ditunjukkan. Jadi, kita susah hati,” kata suara tersebut.
Malaysiakini belum lagi dapat mengesahkan secara bebas kesahihan klip audio itu dan masih cuba mendapatkan maklum balas daripada pemimpin yang dirujuk itu.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula semalam menjarakkan diri daripada mengulas isu berkaitan partinya itu dan berkata dia tidak mahu membuat kenyataan hanya berdasarkan kepada andaian.
Malah jika ada laporan polis dibuat pun, Takiyuddin menegaskan pihaknya hanya akan membiarkan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan mengenai audio berkenaan.
Hashim berkata tidak timbul isu yang didakwa iaitu kedudukan PAS dalam PN dan kerjasama mereka dengan Umno melalui Muafakat Nasional.
Hal itu kerana, katanya, ia sudah dipersetujui oleh semua pihak dalam parti.
“Kalau kita bercakap soal perkukuhkan PN dan Muafakat Nasional, itu sudah dipersetujui semua. Tak ada orang yang bangkang dalam PAS.
“Jadi, tak bolehlah nak kata itu pecah-belah, itu tak berlaku,” katanya.
Tambah Hashim pendirian PAS itu adalah dasar bersama yang diputuskan semua pihak dan dipersetujui Majlis Syura Ulama, iaitu badan tertinggi dalam parti tersebut.
“Kita berkawan dengan Umno dan kita juga berkawan dengan Bersatu. Itu yang kita pertahankan,” katanya.
Ditanya sama ada PAS wajark membuat laporan polis berkenaan rakaman audio itu, Hashim menjelaskan, dia enggan memberi komen lanjut dan terpulang pada parti untuk menentukannya.
“PAS ada lajnah politik, lajnah perpaduan dan sebagainya, jadi saya yakin Dewan Harian PAS boleh buat keputusan dan terpulang kepada mereka,” tambahnya.