Jaringan 5G DNB berisiko, PH gesa bahas di Parlimen

 


Oleh MALAYSIA DATELINE / October 28, 2021

Pelaksanaan jaringan prasarana 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB), yang merupakan sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) dimiliki penuh oleh Kerajaan bakal mengundang risiko buat negara.

Jawatankuasa Komunikasi, Digital & Multimedia Pakatan Harapan berkata, langkah pelaksanaan 5G melalui monopoli DNB ini bermaksud Kerajaan akan berisiko kehilangan pendapatan dari hasil jualan spektrum 5G terus kepada syarikat-syarikat telekomunikasi, yang dianggarkan bernilai RM7 hingga RM12 bilion.

Katanya, pada ketika pendapatan tahunan kerajaan sangat tertekan akibat pandemik COVID-19, sudah pasti langkah ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap pendapatan Kerajaan.

“Hal ini mesti dipertimbang semula. Selain itu, berdasarkan wawancara Ketua Pegawai Eksekutif DNB pada 16 Oktober lalu, DNB dijangka membuat siri pinjaman bank serta menerbitkan sukuk menjelang tahun hadapan yang keseluruhannya berjumlah RM 8 billion,” katanya.

Justeru bagi Pakatan Harapan, pinjaman ini merupakan satu bentuk liability kontingen (contingent liability) yang merupakan risiko yang terpaksa dipikul rakyat akhirnya nanti sekiranya DNB gagal membayar balik hutang tersebut.

“Hal ini wajar dipertimbang semula dengan cukup serius, memandangkan bebanan hutang kerajaan yang dijangka meningkat.

“Dalam aspek pelaksanaan secara teknikal, kami meneliti beberapa risiko besar termasuk isu-isu legasi yang mungkin timbul apabila perkhidmatan telekomunikasi beralih ke teknologi yang lebih tinggi kelak,” katanya lagi.

Malah berdasarkan garis panduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertarikh 9 Julai 2021, syarikat-syarikat telekomunikasi hanya dibenarkan untuk menggunakan spektrum sedia ada untuk menyediakan perkhidmatan sehingga tahap 4G sahaja dan tidak 5G atau lebih dari itu.

Ini adalah satu kekangan teknologi yang amat tidak wajar, menghilangkan sifat ‘keberkecualian teknologi’ (removal of ‘technology neutrality’), dan wajib dipertimbang semula.

Justeru Pakatan Harapan berpendirian bahawa DNB dan seluruh perancangan pelaksanaan jaringan 5G wajib dibahas di Parlimen, termasuk dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur, sebelum ia dilaksana sepenuhnya.

Berdasarkan laporan media, DNB dijangka membelanjakan di antara RM16.5 billion sehingga RM20 bilion selama 10 tahun untuk membina jaringan 5G, yang dikatakan mampu meliputi 80% negara menjelang 2024.

Perbelanjaan untuk 600 staf DNB sahaja dijangka berjumlah RM2.5 billion, atau purata RM34,722 seorang sebulan untuk tempoh sedekad itu.

Berbeza dengan pengendalian spektrum perkhidmatan telekomunikasi untuk 2G, 3G dan 4G sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tidak ditawarkan untuk membida spektrum 5G tetapi terpaksa menyewa spektrum tersebut dari DNB sahaja pada satu kadar yang ditetapkan untuk satu jangkamasa yang ditetapkan.