Putera MIC jadi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya
Putera MIC, Danesh Raj Nagarajan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) berkuatkuasa hari ini hingga 3 Oktober 2024.
Danesh, 26, merupakan graduan Pusat Kebudayaan UM dan merupakan Ahli Parlimen Belia Malaysia.
“Syukur saya diberi kepercayaan dan amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya.
“Varsiti ini dan warganya telah menjadikan saya seorang manusia yang berguna! Sudah tentu UM dan tradisinya mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya.
“Dengan kudrat yang ada saya akan lakukan tugas semak dan imbang tanpa kompromi demi masa depan sahabat mahasiswa, alumni serta varsiti kesayanganku,” katanya hari ini dalam hantaran di Facebook.
Dalam satu program anjuran Putera MIC pada 5 Jun tahun lalu, Danesh dilihat menjadi antara ahli panel forum bertajuk, “Cabaran Belia dan Kelestarian Sosio-ekonomi Dalam Norma Baru”.
Pemimpin MIC yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Danesh sebagai Ahli Lembaga Pengarah di universiti di tangga 65 dalam senarai 100 universiti dunia.
“Satu pengiktirafan kepada golongan belia. Syabas!” kata bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu.
Walau bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline di Facebook rasmi Universiti Malaya mendapati rata-rata warga dan alumni universiti tersebut mempersoal apa yang dianggap sebagai lantikan politik itu.
“Semakan daripada Google, MIC, jadi orang politik,” komen Mohd Azlan manakala Herman Azhari pula menulis, “Apa benda lah UM. Orang macam ni jugak yang dilantiknya.”