Garis kemiskinan baru lulus tetapi tak dipakai?
Musibah pandemik Covid 19 menyebabkan lebih banyak rakyat Malaysia mengalami insiden kemiskinan.
Malangnya, kadar kemiskinan di Malaysia yang tidak realistik dan pengekalan had tidak realistik tersebut untuk melayakkan rakyat mendapat bantuan menyukarkan lagi kehidupan golongan B40.
Bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, kerajaan sewajarnya mengguna pakai had kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019, iaitu RM2,208 sebagai garis kemiskinan semasa yang melayakkan memperolehi bantuan.
“Ukuran kemiskinan kita kena realistik. Tahun 2021 dah moden maka ukuran kemiskinan pun perlulah moden supaya realistik. Kenapa penting? Kerana kalau dulu 2018, RM980 pendapatan isi rumah dikira miskin tegar maka sesiapa yang di atas garis kemiskinan ini tidak dapat bantuan khas. Pada 2019 selepas desakan, kerajaan PH tinggikan lagi kepada RM2,208.
“Bagaimanapun apa yang mengejutkan, bila didedahkan dalam laporan Khazanah Research, untuk pemberian bantuan masih dikekalkan oleh kerajaan (semasa) hanya mereka pendapatan isi rumah RM908 sahaja yang dapat bantuan.
“Bayangkan waktu pandemik ini, ramai yang dapat musibah, mestilah kita kena besarkan (jumlah miskin) sejajar dengan keputusan untuk ambil RM2,208. Kita sedih semacam perjuangan itu tidak ada pelaksanaan kata-kata. Kerajaan semasa perlu ada political will,” katanya dalam wawancara bersama Lensa Parlimen.
Selain itu, menurut Nurul Izzah, kemiskinan isi rumah juga perlu diukur berdasarkan gender.
Katanya, tidak sama kemiskinan ketua isi rumah wanita yang ketiadaan suami berbanding kemiskinan isi rumah yang dikepalai oleh suami.
Jelas Nurul, dalam kajian yang dibuat di kawasan Parlimen beliau, dengan kerjasama pasukan Dr Fatimah Kari, mendapati kemiskinan berasaskan gender tersebut adalah realistik dan perlu diambil kira
Oleh itu, katanya, tumpuan yang lebih terperinci harus diberikan oleh kerajaan kepada isu berkenaan.
“Kita lihat ketua isi rumah wanita jauh lebih miskin daripada ketua isi rumah lelaki. Tangga gaji ketua isi rumah wanita RM1,400 berbanding yang biasa (ketua isi rumah lelaki) lebih RM2,000.
“Kita perlu merangka dasar supaya ia memberi kesan dari segi gender. Kalau ketua isi rumah wanita maka anak-anak akan lebih terkesan. Kita kena lengkapkan (perbaiki) dasar bantuan bagi memenuhi keperluan kepada (isu berasaskan) gender ini,” katanya.
Mengenai Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi dibangun dan diperkenal 2016 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Nurul amat menyokong kerajaan menggunakannya.
Bagaimanapun katanya, data-data kemiskinan di Malaysia perlu kerap dikemaskini supaya ianya tepat. Misalnya, kemiskinan sebelum Covid 19 dan selepas pandemik berlainan, kerana banyak golongan M40 yang mungkin hilang kerja, muflis dan sebagainya telah menjadi golongan B40.
“Jadi atas dasar itu kalau tengok tengok Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi dibangun dan diperkenal 2016 oleh PBB sebenarnya telah digunakan pakai dalam RMK 11 tetapi tidak begitu diterima (kerajaan) kerana jumlah dan ukurannya yang rendah (menambahkan golongan miskin),” katanya.
Namun tegas Nurul, realiti pahit tersebut perlu diakui kerajaan untuk memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang tercicir daripada dibantu. Terutama dalam keadaan banyak fakta menunjukkan simpanan hari tua golongan yang berkerja terlampau sedikit malah tidak mencukupi untuk menampung hidup selepas persaraan.
“Saya kongsikan kajian pesara KWSP 2019 oleh Prof Fatimah Kari. Tengok pesara KWSP rata-rata mereka yang ada pendidikan peringkat sarjana misalnya lebih mudah akses bantuan kerajaan.
“Kedua yang memiliki akses pengangkutan, boleh bawa kereja. Jadi dalam hal ini wanita dianggap lebih miskin dan tersisih kerana bergantung kepada suami untuk bergerak. Atas 60 tahun ramai kehilangan suami.
“Ketiga simpanan selepas persaraan, maksudnya ada simpanan atau tidak dalam amanah saham dan sebagainya.
“Sebab itu, dulu kerajaan PH memperkenalkan skim MySalam, antaranya kalau kita sakit maka kita perlukan dana tambahan untuk ke hospital dan lain-lain bantuan,” katanya lagi.