Bersama pertahan Permatang Pauh, semua kerusi PH di P. Pinang – DAP P. Pinang


DAP Pulau Pinang akan bersama dengan PKR untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh dan semua kerusi Pakatan Harapan (PH) di negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Steven Sim berkata, DAP akan terus bekerja keras untuk mempertahan serta memenuhi mandat rakyat Pulau Pinang yang inginkan sebuah negeri yang maju, berkebajikan dan hijau melalui visi Penang 2030.

“Sebagai Pengerusi DAP Bukit Mertajam yang merupakan ‘jiran’ kawasan Parlimen Permatang Pauh, saya akan memberikan sokongan penuh kepada PKR untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“(Kerusi Permatang Pauh) yang merupakan simbol perjuangan reformasi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kelmarin, Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang, Sim Tze Tzin berkata, PKR negeri akan mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka dan merampas semula kerusi yang bertukar tangan selepas penyandang meninggalkan parti itu untuk menyokong Perikatan Nasional pada PRU-15.

Tze Tzin menjelaskan, beliau yakin pengundi negeri itu tidak akan menerima ‘pembelot’ pada PRU15 kerana tidak mudah melupakan kesusahan politik yang dibawakan wakil rakyat melompat ke parti ditolak rakyat.

Mengulas lanjut, Steven berkata, pihaknya menolak parti-parti yang mengkhianati mandat rakyat dalam Langkah Sheraton, sekali gus menyebabkan negara terjunam ke dalam ketidakstabilan politik berterusan serta gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik.