Beri bantuan pada anak-anak yatim piatu sehingga ke pengajian tinggi

 


Kenyataan media Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching pada 26 Oktober 2021

Perdana Menteri telah melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia bagi membantu anak-anak yatim piatu yang terkesan dengan pandemik Covid-19. 
 
Menurut beliau, kerajaan mendapati seramai 5,173 orang anak yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana wabak Covid-19. 
 
Yayasan Keluarga Malaysia akan bertindak sebagai institusi yang akan membantu golongan ini dalam memperoleh sokongan terutama daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun. 
 
Saya menyokong dan menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan ini untuk membantu anak yatim piatu kerana wabak Covid-19.

Tetapi, bantuan dan sokongan daripada aspek pendidikan tidak harus henti apabila mereka mencapai usia 18 tahun. Saya menyeru kerajaan untuk melanjutkan sokongan dan bantuan pendidikan sampai golongan ini memperoleh ijazah sarjana muda pertama mereka di mana-mana IPTA.
 
Hak untuk menuntut pengajian tinggi adalah satu hak asasi pada zaman ini. Untuk golongan yang hilang kedua-dua ibu bapa mereka kerana wabak Covid-19, apatah peluang mereka untuk menuntut pengajian tinggi kalau Yayasan Keluarga Malaysia hentikan segala bantuan apabila mereka mencapai umur 18 tahun?
 
Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berkongsi kisah 13 orang anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga yang hilang tempat bergantung dan berpaut kasih. 
 
Mereka ialah adik Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, yang terpaksa menjaga 7 adiknya manakala adik Hadrami Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya termasuk adik bongsu yang baru berusia 3 tahun. 
 
Bagi adik Nazurah Nabilah Benyajeed, saya percaya dia bukan sahaja memerlukan bantuan untuk menjaga 7 orang adiknya, tetapi juga bantuan untuk menuntut pengajian tinggi. 
 
Sama juga untuk adik Hadrami Hasil. Sekiranya dia dibenarkan untuk meneruskan pengajian di IPTA selepas mencapai umur 18 tahun, sudah pasti dia boleh memberi sokongan dan jagaan yang lebih baik untuk adik-adiknya.
 
Untuk golongan ini, yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.
 
Saya harap YAB Perdana boleh mempertimbangkan rayuan saya, supaya mereka tidak akan hilang peluang untuk menuntut pengajian selepas kehilangan ibu bapa kerana wabak Covid-19.