Bajet tambahan: Kerajaan akan tingkatkan had hutang 65% KDNK
Belanjawan tambahan yang diminta oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz menimbulkan perbahasan lanjut mengenai sumber dari manakan kerajaan akan mendapat dana tambahan sebanyak RM45 bilion
Ahli Parlimen Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH – Kulim Bandar Baharu) bertanya sama ada Kerajaan akan meningkatkan terbitan bon dan sukuk atau ada pembiayaan lain.
“Di peringkat jawatankuasa saya bangkitkan 2 perkara.
“Di peringkat ini bolehkah terangkan dari mana Kerajaan nak dapat wang biaya amaun RM45 bilion ini?
“Apakah dengan cara Kerajaan keluarkan sukuk atau bon atau Kerajaan akan minta GLC atau KWAN, Bank Negara meningkatkan dividen mereka?
“Kalau boleh YB Menteri berikan perincian kerana implikasi tanggungan terhadap butiran kita bincangkan tadi cukup besar. Adalah munasabah dan adil untuk dewan diberitahu secara telus dari manakah datangnya pembiayaan,” katanya dalam perbahasan sesi pagi di Dewan Rakyat.
Tengku Zafrul menjawab perbelanjaan kumpulan wang Covid 19 akan dibiayai semuanya melalui pinjaman Kerajaan. Tidak melibatkan sumbangan khusus GLC atau kaedah kewangan yang lain daripada biasa.
Kerajaan perlu meningkatkan had siling hutang dari 60% kepada 65% Keluaran Dalam Negara Kasar atau RM110 bilion, katanya.