Secara tersiratnya, keputusan mesyuarat MT semalam yang memutuskan UMNO ingin bekerjasama dengan Pas dalam PRN Melaka adalah suatu cubaan memberi tekanan dan memerangkap parti Islam itu.
UMNO pada hakikatnya tahu Pas adalah ahli gabungan PN yang dua sehari sebelum itu telah bersetuju untuk berganding bersama Bersatu dan Gerakan dalam menyertai PRN Melaka.
Tidak setakat setuju bertanding dalam PRN Melaka bersama PN, malah Pas juga setuju untuk menggunakan lambang PN, bukan lambang bulan dalam pilihanraya tersebut.
Dengan keadaan itu, ternampak sangat mustahil untuk Pas keluar serta meninggalkan PN semata-mata untuk bekerjasama dan menerima huluran tangan yang dibuat oleh UMNO.
Keputusan UMNO mahu bekerjasama dengan Pas saja, bukan dengan Bersatu dan PN, tidak lebih sebagai cubaan menekan dan memerangkap Pas, sambil bertujuan memecah-belahkan PN.
Dengan keputusan tersebut, selain dapat menunjukkan UMNO memang ingin bersama dengan Pas demi perpaduan ummah, ia juga akan meletakkan Pas dalam serba-salah.
Jadi sekarang UMNO telah meletakkan keputusan membuat pilihan di tangan Pas – kalau ingin bersamanya, sila tinggalkan PN dan bertandinglah atas logo sendiri atau jika enggan, teruskanlah bersama PN yang didalamnya ada Bersatu yang merupakan musuh ketat UMNO itu,
Sekurang-kurangnya, meskipun dengan Pas menolak untuk bekerjasama dengan UMNO, UMNO sudah boleh mengelak daripada dipertanggungjawabkan untuk membentuk penyatuan ummah, sebaliknya meletakkan beban itu kepada Pas.
Itulah sebenarnya muslihat UMNO di sebalik keputusan MT itu, walaupun secara tersuratnya, ia turut menunjukkan parti itu dalam keadaan lemah dan tidak mampu menang PRN Melaka secara solo.
Adalah jelas, UMNO hanya berharap dapat memenangi PRN Melaka dengan adanya bantuan Pas dan dengan berlakunya perpecahan dalam PN.
Makna kata, tidaklah sekuat mana UMNO sekarang ini.
Kalau UMNO benar-benar kuat, sepatutnya ia kekal dengan pendirian bertanding solo dan tidak mengharap sama sekali kepada kerjasama dengan Pas, jauh sekali melakukan percaturan mahukan Pas bertanding atas logo sendiri yang mana ia dengan mudah difahami hanya bertujuan memecah-belahkan PN.
Kecuali ada perubahan drastik berlaku, hasrrat UMNO untuk memancing Pas dengan cara sedemikian itu secara umumnya hampir mustahil akan menjadi kenyataan.
Ini kerana, Pas lebih selesa dan lebih mungkin kekal bersama PN berbanding untuk beralih arah kepada UMNO yang mana hubungan antara keduanya selalu berlaku pasang surut dan turun naik yang tidak menentu.
Bagi Pas, jika ingin kepada penyatuan ummah yang sebenar, ia mestilah dengan membawa sekali Bersatu ke dalam persepakatan itu, bukannya melibatkan UMNO dan Pas semata-mata.
Perkara ini sudah pastinya ditolak oleh UMNO kerana pemimpin-pemimpin parti itu masih ada dendam terhadap Bersatu dan Mahiaddin Md Yasin.
Akhirnya, UMNO pun turut sama terperangkap dalam percaturan ini, meski pada awalnya mereka yang ingin memerangkap Pas.
Apatah lagi dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempelawa semua parti yang ingin bekerjasama dengan Pas agar setuju menggunakan logo bulan dalam PRN Melaka ini.
Seorang lagi pemimpin Pas, Dr. Khairuddin Attakiri pula berkata, sama ada Pas akan menggunakan logonya sendiri atau logo lain, ia tidak boleh ditentukan atau melalui tekanan pihak lain.
Dengan kedua-dua kenyataan Tuan Ibrahim dan Dr. Khairuddin ini, malu tak UMNO?
Sebab itu, tiada pemimpin UMNO berani mengulas kedua-dua kenyataan pemimpin Pas di atas. – ShahbudinHusin 30/10/2021.