Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengecam
ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti, menyifatkannya
sebagai satu tindakan 'tidak bermaruah dan dayus'.
Berucap pada majlis Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti
di Menara Dato Onn, secara maya hari ini, Zahid berkata BN merasa dikhianati
akibat tindakan wakil rakyat tersebut .
"Tindakan mereka jelas telah mencabul amanah diberikan
kepada mereka.
"Mereka yang lompat parti itu sebenarnya mengejar wang,
kuasa dan juga ketakutan dengan pertuduhan yang boleh mengheret menjadi kluster
mahkamah.
ADS
"Kita perlu jadikan sejarah hitam PRU14 sebagai iktibar.
Matlamat kita adalah bangkit semula. Sebarang isu dalaman parti baik dari pihak
Umno, parti komponen atau parti lain hendaklah diselesaikan sebelum pilihan
raya akan datang," katanya.
Selepas BN ditumbangkan pada PRU14, sebanyak 15 ahli parlimen
yang menang atas tiket BN lompat parti menyertai parti lain khususnya Bersatu.
Gabungan BN turut mengecil selepas sembilan daripada jumlah 13
parti komponen mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut.
BN kini hanya dianggotai Umno, MCA, MIC dan PBRS manakala Makkal
Sakti masih disifatkan sebagai parti ahli gabungan BN.
Sementara itu, Zahid sekali lagi mengulangi bahawa Makkal Sakti
akan diberi tempat untuk bertanding bawah tiket BN pada pilihan raya umum akan
datang.
"Makkal Sakthi akan diberikan peluang untuk bertanding atas
kesetiaan selama 13 tahun menyokong BN.
“Jadikan Makkal Sakti sebagai aset. Saya merasakan kita akan
berbincang dengan rakan-rakan dalam BN, kita akan memberi tempat pada PRU15
dalam parlimen atau DUN nanti,” katanya.
Untuk rekod, ketika kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim,
Zahid memberitahu Makkal Sakti akan diberi peluang bertanding pada PRU15.
Dia juga menyatakan sokongan Makkal Sakthi kepada BN mampu
melonjakkan semula gabungan itu.
Terdahulu, ketika ucapan dasar Presiden Makkal Sakti RS
Thanendran meminta BN agar memberi peluang kepada partinya untuk bertanding di
empat parlimen dan 11 DUN pada pilihan raya umum akan datang.