WALAU LEBAI TENGIN KATA BERDOA SAHAJA, ......NAMUN KEMPEN BENDERA PUTIH BERJAYA MEMBANTU RAKYAT YANG TERJEJAS

 



Kempen Bendera Putih, bank makanan berjaya bantu rakyat terjejas ketika pandemik Covid-19





Kempen #BenderaPutih yang dilancarkan adalah inisiatif rakyat bagi membantu mereka yang sangat memerlukan bekalan makanan dan bantuan.

PETALING JAYA: Kempen #BenderaPutih dan inisiatif mewujudkan bank makanan bagi membantu rakyat terjejas ketika pandemik Covid-19 melanda negara dilihat berjaya oleh beberapa individu, organisasi dan syarikat sejak ia dilancarkan Julai lalu.

Nur Dinie Mohd Fadil, antara individu yang menggerakkan kempen itu di Negeri Sembilan berkata sepanjang pelaksanaannya, bantuan bakul makanan telah diberikan hasil daripada sumbangan pelbagai pihak.

Katanya, sumbangan mencecah RM17,000 untuk digunakan dalam pemberian bakul makanan sejak ia mula dilancarkan.

Dinie berkata hasil sumbangan itu lebih separuh telah digunakan untuk diberikan bantuan kepada golongan sasar seperti mereka yang berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal dan juga ibu tidak bekerja.

Beliau berkata setiap satu isi rumah akan diberikan bakul makanan berharga RM60 yang mengandungi makanan asas, beras, ayam, gula, minyak, biskut dan telur.

“Sumbangan derma akan digunakan untuk menyalurkan bantuan wang tunai dan makanan selain menyediakan beberapa barangan keperluan lain.

Kita akan tolong golongan seperti itu kerana mereka amat terjejas ketika pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.

Pada Julai lalu, rakyat bergabung tenaga sebagai satu komuniti di bawah kempen disebut sebagai #BenderaPutih bagi menghulurkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Kempen itu meminta mereka yang terkesan supaya mengibarkan bendera putih di luar rumah dan mengetepikan rasa malu atau takut untuk meminta bantuan, lebih-lebih lagi susulan berlakunya peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan mereka yang tertekan.

FMT sebelum ini turut senaraikan bantuan makanan dalam beberapa siri artikel.

Sementara itu, syarikat penyedia perkhidmatan web, Shinjiru Technology Sdn Bhd (Shinjiru) yang turut mengambil inisiatif memberi bantuan bank makanan sejak 21 Julai lalu berkata, kempen itu dianggap berjaya membantu mereka terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Teknologi Shinjiru, Shaun Lim berkata program itu telah menarik orang ramai untuk menyumbang apa saja bentuk sumbangan di meja yang disediakan.

“Projek ini mendorong orang ramai menunjukkan sikap murah hati dan berbuat baik antara satu sama lain.

Kami mengukur kejayaan projek kami, bukan dengan jumlah sumbangan yang diberikan tetapi dengan cara bank makanan membantu orang yang memerlukan,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada mereka terlibat dalam menjayakan projek itu.

“Projek ini adalah salah satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang paling berkesan kami pernah jalankan kerana ramai orang terjejas teruk ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Bank makanan itu dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat, mulai 9 pagi hingga 6 petang di Wisma Laxton, Jalan Desa, Off Jalan Klang Lama, Taman Desa di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun program bank makanan syarikat itu akan berakhir pada 31 Sept ini.