Undi 18: Kerajaan tak rayu, kemenangan anak muda
Persatuan Pengundi Muda atau UNDI 18 menyokong tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan melaksanakan had umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik pada 31 Disember 2021.
Menurut kenyataan UNDI 18, jaminan Menteri Undang-Undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di dalam Dewan Rakyat kelmarin pula merupakan kemenangan kepada anak muda yang memperjuangkan hak untuk mengundi.
“Keputusan ini menandakan era baharu dalam perjalanan Undi18 untuk pemerkasaan demokratik anak muda yang bermula dengan pindaan perlembagaan pada Julai 2019 dan dilanjutkan dengan dua tuntutan mahkamah pada 2021 terhadap Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kuching untuk memastikan pelaksanaan penurunan umur pengundian dengan segera.
“UNDI18 ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam kami yang terdiri daripada Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar, Datuk Ambiga Sreenevasan, Lim Wei Jiet, New Sin Yew, Simon Siah, Clarice Chan, Abraham Au, Joshua Wu dan Beatrice Chin atas penglibatan mereka dalam menjayakan semakan kehakiman untuk anak muda Undi18.
“Kami juga ingin memberi perhatian ke atas keberanian 23 anak muda Malaysia (membuat tuntutan mahkamah) yang tidak berputus asa dalam memperjuangkan hak perlembagaan mereka untuk mengundi bukan hanya untuk mereka sendiri, tetapi untuk semua rakyat Malaysia,” kata menyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, Pengasas Bersama UNDI 18, Qyira Yusri berkata Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berkenaan adalah mercu tanda yang bersejarah dalam undang-undnag Perlembagaan di Malaysia yang menjamin hak kepada warganegara.
“Hak mengundi adalah hak asasi manusia dan kita perlu memastikan rakyat Malaysia di mana sahaja akan dapat mengakses dan mengundi semasa pilihan raya.
“Pendaftaran pengundian secara automatik dan Undi18 akan menjadi pengubah dalam politik Malaysia, dan saya tidak sabar untuk melihat anak muda Malaysia mengundi dalam pilihan raya akan datang,” kata beliau.
Manakala Peguam Lim Wei Jiet daripada Sreenevasan Advocates and Solicitors memuji keputusan berkenaan yang bukan sahaja menjadi kemenangan untuk demokrasi tetapi juga peraturan undang-undang Perlembagaan
Keputusan kerajaan untuk tidak merayu pula, katanya telah menegaskan kembali kewajiban Eksekutif untuk menguatkuasakan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, lebih-lebih lagi ketika telah berulang kali berjanji untuk melakukannya pada tarikh tertentu.
UNDI 18 menantikan penambahan sekitar 5 juta pengundi kepada senarai pendaftaran pemilih dengan pelaksanaan had umur baharu berkenaan dan pendaftaran pemilih automatik pada akhir tahun ini.