Umno masih ‘bergelut’ walaupun dapat jawatan PM, kata penganalisis

 

Menurut penganalisis, untuk jangka pendek Umno perlu bersatu, susun semula pemimpin yang ada integriti dalam barisan Majlis Tertinggi parti.

PETALING JAYA: Kenyataan terbaharu Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Umno sudah bersifat seperti “perusahaan komersial”, berperangai tamak, selain prinsip akhlak hancur berkecai memberi gambaran bahawa krisis dalaman parti itu belum reda walaupun menerajui kerajaan.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, Umno masih lagi menghadapi krisis keyakinan antara pemimpin tertinggi dan sudah sampai masanya parti itu menukar pemimpin yang dilihat bermasalah bagi memastikan mereka kembali bangkit dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Umno kena buat ‘rebranding’ dan tukar pemimpin bermasalah, jika tidak sukar untuk bangkit semula bila PRU15 nanti.

“Untuk jangka pendek Umno perlu bersatu padu \antara ahli, susun semula pemimpin yang ada integriti sahaja yang layak duduk dalam barisan Majlis Tertinggi Umno,” katanya kepada FMT.

Katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno perlu bertahan menerajui Putrajaya pada saat kedudukan parti yang diwakilinya masih bermasalah dan beliau perlu terbuka berbincang dengan parti lain termasuk dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pentadbiran kerajaan tidak terjejas

“Ismail perlu bertahan dan kena rujuk semua parti komponen dalam PN sebelum buat keputusan besar. Jangan buat keputusan seorang. Perdana menteri kena sentiasa ingat Umno bukan seperti dulu, dominan, Umno sekarang menumpang orang lain (menerajui kerajaan),” katanya.

Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berpandangan Umno sebenarnya menghadapi masalah dengan generasi veteran politik yang masih ingin mendominasi kepimpinan parti.

“Ini menyebabkan generasi pelapis yang ingin menggantikan kepimpinan Umno menghadapi krisis keyakinan antara veteran dan pemimpin pelapis. Situasi ini akhirnya menyebabkan Umno sendiri ketandusan pemimpin yang mampu mengimbangi pengaruh kumpulan veteran dengan pemimpin muda.

“Umno kena buat ‘rebranding’ dan tukar pemimpin bermasalah, jika tidak sukar untuk bangkit semula bila PRU15 nanti.

“Ini menyebabkan generasi pelapis yang ingin menggantikan kepimpinan Umno menghadapi krisis keyakinan antara veteran dan pemimpin pelapis. Situasi ini akhirnya menyebabkan Umno sendiri ketandusan pemimpin yang mampu mengimbangi pengaruh kumpulan veteran dengan pemimpin muda.

“Kemungkinan situasi ini menjurus kepada krisis kepimpinan Umno dalam menghadapi cabaran realiti politik kerajaan perpaduan. Akibat daripada aspirasi pemimpin muda dalam Umno yang melihat corak bagaimana Umno perlu dikemudi sesuai dengan perubahan zaman yang bertentangan dengan aspirasi veteran politik Umno,” katanya.

Katanya, veteran Umno juga tidak boleh menyalahkan generasi yang menerajui Umno ketika ini.

Tengku Razaleigh menerusi kenyataan terbaharu berkata, “Umno Baru” yang tertubuh pada 1988 kini sudah bersifat seperti “perusahaan komersial”, berperangai tamak, selain prinsip akhlak hancur berkecai.

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyatakan jiwanya masih setia bersama Umno yang tertubuh pada 1946.

“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan Umno asal. Saya pernah bertanding jawatan presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau ‘agent of necessity’ untuk Umno yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat,” kata Ku Li.