Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini bertitah kerajaan perlu menyegerakan semakan semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.
Baginda membangkitkan perkara berkenaan ketika menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah ini kerana Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing, selain antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.
“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah baginda.
Di pertemuan itu Sultan Ibrahim turut membincangkan pelbagai perkara lain berkaitan kemajuan negeri Johori.
Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Ini merupakan kunjungan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada 21 Ogos lalu.