Mengapa Najib belum lagi ulas MoU kerajaan dengan PH?
Tidak seperti kelazimannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat pantas mengulas isu-isu politik semasa dengan ayat yang menarik.
Namun, tidak nampaknya untuk pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) petang tadi.
Sehingga lewat malam ini, Ahli Parlimen Pekan berkenaan belum memuatnaik sebarang komentar berhubung MoU Transformasi dan Kestabilan Politik tersebut.
Hantaran terakhir Najib di Facebook rasminya petang tadi hanya tentang apa yang dipanggilnya perjuangan Umno berserta gambarnya sedang berbincang dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen.
“Semoga Allah SWT terus merahmati perjuangan parti kita Umno BN untuk rakyat Malaysia,” kata bekas Perdana Menteri itu ringkas sahaja.
Ketiadaan ulasan Najib untuk MoU yang dianggap sebagai satu pencapaian yang jarang berlaku dalam sejarah politik negara ini menarik perhatian orang ramai.
“Sama seperti pelantikan Mahiaddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri, Najib Razak masih gagal memberi reaksi tentang MoU kerajaan dengan PH.
“Diam setuju atau tak setuju?” soal penganalisis politik, Shahbudin Husin.
MoU antara kerajaan dan PH merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Najib sebelum ini dilihat lantang mengkritik pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Pesalah berkaitan pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa tersebut bahkan sebelum ini secara terbuka menggesa Mahiaddin berundur secara terhormat kerana dianggap mendatangkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu Ordinan Darurat.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.