Peniaga kecil Malaysia membimbangkan, perlu bantuan segera
Bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid 19 telah dikeluarkan sejak Mac 2020, namun sehingga kini masih kedengaran rungutan bahawa sebilangan peniaga kecil tidak mendapatnya.
Bagi Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini bahawa perusahaan mikro paling teruk terjejas, maka seharusnya PKS mikro itu sama ada berdaftar atau tidak berdaftar, disekalikan dalam pemberian subsidi atau bantuan kewangan bagi mengelakkan penutupan perniagaan.
“Perusahaan mikro yang tidak berdaftar, tidak kira sama ada Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 sehingga 4.0, mereka tidak layak (menerima) dan tidak pernah memperolehi sumbangan daripada Kerajaan kerana kekurangan maklumat terhadap golongan ini.
“Datuk Seri Alexander juga menyatakan bahawa perniagaan mikro dan perniagaan yang tidak berdaftar merupakan perniagaan yang paling ketara dapat dilihat di negara kita. Namun pihak KPDNHEP kekurangan usaha untuk bertemu dan menggalakkan pendaftaran perusahaan-perusahaan mikro yang masih tidak berdaftar ini. Jika tiada usaha macam mana kerajaan akan membantu golongan ini?
“Saya khuatir jika pandemik berterusan sehingga bulan Oktober, kebanyakan perniagaan akan berada pada tahap kritikal seperti apa yang diperkatakan oleh Menteri, mereka terpaksa menamatkan perniagaan atau isytihar bankrap,” kata Chean Chung.
Justeru ADUN Semambu itu membandingkan ‘Laporan Ekonomi Malaysia’ oleh Bank Dunia, di mana berbanding negara-negara jiran, PKS negara ini mengalami masalah aliran tunai yang paling serius.
Aliran tunai perusahaan Indonesia, katanya boleh bertahan selama 9.48 bulan, Vietnam selama 5.85 bulan manakala Malaysia hanya mampu bertahan 4.9 bulan.
“Saya percaya kebanyakan perusahaan mikro adalah pengusaha persendirian yang membuka gerai, tukang-tukang dan mereka yang memperolehi pendapatan harian. Kebanyakan mereka tidak mendaftarkan perniagaan kerana berpendapat proses pendaftarannya rumit, kesedaran yang rendah ataupun pengusaha sudah berumur.
“Saya mencadangkan KPDNHEP dan Kementerian Pembangunan Usahawan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk memulakan perhubungan dan pendaftaran perusahaan mikro yang masih tidak berdaftar ini.
“Pada waktu yang sama, mengarahkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyediakan perkhidmatan pendaftaran yang lebih senang dan murah kepada perusahaan mikro serta selaraskan dengan bantuan kewangan daripada Kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan kerajaan dalam membantu perusahaan mikro itu,” katanya lagi.
Tegas Chean Chung, sekiranya Kerajaan gagal meningkatkan keterlihatan perusahaan mikro dan memperolehi pangkalan data yang lengkap, tidak kira sama ada bantuan kewangan atau sebarang ganjaran ke atas transformasi digital dan automasi, ia tidak akan menguntungkan perusahaan mikro yang tidak berdaftar dan ekonomi Malaysia akan terjejas lebih teruk dengan penutupan PKS mikro.