Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengeluarkan jaminan bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – berkiblatkan Taiwan – tidak akan didagangkan semata-mata kerana perebutan jawatan politik.
Ini susulan laporan portal media tempatan, Samudera.my yang memetik sumber dalaman melaporkan bahawa UEC – yang selama ini menjadi subjek kontroversi – bakal diluluskan kerajaan.
Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah.
Tindakan ini menurut sumber ialah berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan Perjanjian Keyakinan & Bekalan (CSA – Confidence & Supply Agreement) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.
Mengulas perkara itu, Ketua Belia PEMBELA, Nor Aizat Rahimi berkata, laporan portal yang menyebut bahawa penerima UEC sebagai salah satu item dalam rundingan CSA dilihat sebagai satu pengkhianatan.
Bahkan ia juga akan membawa kepada pepecahan dalam negara, tegasnya.
“Sudahlah selama ini wang harta dijadikan sebagai taruhan, bahkan lebih teruk lagi sekiranya laporan ini benar, maruah dan identiti negara dan tanah air juga dijadikan sebagai taruhan dalam percaturan politik, sungguh jijik,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, beliau menggesa Perdana Menteri memberi jaminan untuk tidak mengiktiraf UEC.
“Kerajaan pimpinan UMNO seharusnya tidak menggadaikan prinsip mereka dalam mempertahankan maruah identiti tanah air,” tegasnya.
UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.
Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.