Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di UBN Apartment, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 SEPTEMBER 2021.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melihat bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pemimpin muda yang gagal.
Pandangan itu dilontar oleh Nazri dalam temubual bersama MalaysiaGazette untuk program Owh!MG Khamis lalu di kediamannya.
“Saya tengok macam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada saya dia
gagal. Belum apa-apa lagi dah lompat sana, lompat sini. Kalau dulu dengan Tun
Dr Mahathir Mohamad, duduklah bersama Tun. Mengapa lari daripada Bersatu kemudian
jadi bebas?’ Katanya.
Bekas Menteri Pelancongan itu juga menyifatkan Ahli Parlimen
Muar tidak menunjukkan contoh yang baik sedangkan beliau telah diberikan
peluang.
Katanya, tindakan Syed Saddiq berbeza dengan Ahli Parlimen
Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang sangat konsisten.
“Saya bangga dengan beliau yang kekal, macam itulah. Tapi yang
lain tak ada kejayaan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pembabitan golongan muda dalam politik
Nazri mengakui perlu ada gandingan antara generasi baharu dengan orang lama
baik dalam politik mahu pun pentadbiran kerajaan.
Katanya, pengalaman juga amat penting dan bagi orang muda mereka
mesti naik secara berperingkat sebagaimana dalam UMNO di mana pemimpin lama
membimbing pemimpin muda untuk sama-sama berjaya.
“Mesti bergandingan mana boleh semua orang muda. Kita kena
ingat, nak cakap pasal pengalaman, tak akan ada kalau tak melalui sepak
terajang politik.
“Jadi kita kena bagi ruang kepada yang muda untuk merasai asam
garam politik. Sama macam berjalan, kena merangkak dulu, lepas tu berdiri
kemudian jatuh, berdiri semula kemudian baru berjalan.
“Itu tak boleh elak, kerana lumrah alam semula jadi. Bagi saya, yang
penting gandingan. Tak semestinya orang tua kena pergi.
“Masa saya jadi menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham
Tun Ghaffar Baba ada, Tun Abdullah Badawi, semua ada. Maknanya, waktu saya
naik, saya mendapat bimbingan daripada yang tua.
“Pada saya, UMNO kalau nak maju, pastikan ada kesinambungan dan
gandingan. Sebab itu, saya mengundurkan diri,” katanya.
Nazri turut ditanya adakah pengumuman yang beliau akan bersara
dari politik dan tidak bertanding pada PRU15 isyarat supaya pemimpin lama juga
mengambil tindakan yang sama.
“Saya bukan bagi isyarat kepada yang lain. Saya tahu, yang muda
masuk mesti ada gandingan dengan yang tua. Saya hanya buat untuk diri saya,
senang buat keputusan untuk diri saya sahaja.
“Saya tak pedulikan orang lain. Semua keputusan untuk saya, yang
penting, biarpun veteran ini pergi, tapi akan ada veteran lain masih ada lagi
untuk bersama-sama orang muda,” katanya. – MalaysiaGazette