NAJIB TAK JADI DILANTIK PENASIHAT EKONOMI?



Apa cerita tentang perlantikan Najib Razak sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri?


Kenapa ia senyap saja sekarang ini?


Jadi atau tak jadi beliau dilantik memegang jawatan tersebut?


Kira-kira dua minggu setelah Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri dan Najib mengunjunginya di Bangunan Perdana Menteri ketika itu, ia kemudian menyusul dengan perkhabaran bekas Perdana Menteri itu akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi.


Apalagi dalam pertemuan selama lebih sejam antara kedua-dua pemimpin itu, mereka memaklumkan dalam media sosial masing-masing berkenaan perbincangan yang dilakukan yang antaranya berkaitan cabaran memulihkan ekonomi kesan wabak Covid19.


Najib turut menyatakan dalam media sosialnya, beliau komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta.


Maka, reaksi Najib itu dianggap mengesahkan lagi tentang perlantikannya itu.


Dikatakan jawatan yang bakal diberikan kepada Najib adalah bertaraf menteri, sama dengan status yang diberi kepada Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.


Dikatakan juga perlantikan Najib itu adalah untuk menyeimbangkan perasaan penyokong-penyokong Najib dalam UMNO yang tidak begitu puas dengan perlantikan Mahiaddin mengetuai MPN, di sebalik beliau ditanggapi sebagai Perdana Menteri yang gagal sehingga terpaksa meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.


Lalu, dengan melantik Najib diharapkan dapatlah menenangkan perasaan penyokong-penyokong Najib bahawa Bossku juga dihargai oleh Perdana Menteri.


Tetapi, setelah sekian lama masa berlalu hingga sekarang ini, apa jadi dengan perlantikan Najib itu?


Sekali lagi, jadi atau tak jadi?


Perkhabaran terbaru memberitahu, Ismail Sabri buat waktu ini belum ada perancangan lagi untuk membuat lantikan segera terhadap Najib.


Dikatakan, tiada keperluan mendesak buat Naib Presiden UMNO itu untuk meletakkan Najib di jawatan tersebut.


Selain itu, diberitakan juga, penolakan Bersatu terhadap pencalonan Ahmad Maslan, salah seorang kluster mahkamah dalam UMNO bagi diletakkan sebagai Timbalan Speaker Parlimen sebelum ini sehingga pemilihannya ditangguhkan untuk membolehkan pindaan Perlembagaan dibuat terlebih dahulu turut menjadi antara sebab perlantikan Najib tidak dilakukan atau sekurang-kurangnya ditangguhkan buat sementara waktu.


Kalau pencalonan Ahmad Maslan pun ditolak Bersatu, kebimbangan Ismail Sabri ialah beliau tidak tahu apa akan jadi kepadanya atau kesan yang akan diterimanya dengan perlantikan Najib nanti.


Yang nyata, penyokong-penyokong Ismail Sabri percaya, perlantikan Najib bukanlah sesuatu yang baik buat masa ini.


Demi untuk tidak menimbulkan sebarang keadaan yang tidak diingini, tambahan lagi Ismail Sabri mahu tidak mahu amat menyedari beliau juga perlu menjaga hati Bersatu yang lebih dulu mencalonkannya sebagai Perdana Menteri,!tidak melantik atau menangguhkan perlantikan Najib adalah pilihan paling selamat buatnya.


Lagi pula, Ismail Sabri juga difahamkan sedar respon rakyat yang tidak begitu gembira kiranya Najib diberikan jawatan tersebut dalam keadaan dirinya telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah serta masih menunggu keputusan rayuannya.


Kalau selama ini pun respon netizen terhadap kepimpinannya boleh dikata tidak menyebelahinya, pastilah selepas perlantikan Najib nanti keadaan akan bertambah buruk lagi.


Untuk itu, sekurang-kurangnya sehingga kes rayuan di Mahkamah Rayuan diketahui, mungkin tiada sebarang perlantikan sebagai Penasihat Ekonomi buat Najib.


Baik Najib atau para penyokongnya – sabarlah dulu. – ShahbudinHusin 27/09/2021.