Pembentukan kerajaan baharu tidak menunjukkan kesungguhan kepimpinan UMNO hari ini untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai mana yang dikehendaki oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menterjemah kehendak akar umbi yang menolak Bersatu dalam sebarang bentuk kerjasama.
“Tiada makna PAU 2020 meluluskan satu usul nak memutuskan sebarang kerjasama dengan Bersatu.
“Sedangkan apa yang diwujudkan sekarang ini kerajaan gantian tidak membayangkan kita sudah bercerai atau putus hubungan dengan Bersatu.
“Bukan saya ada apa-apa terhadap Bersatu, tetapi semangat itu tak dizahirkan oleh penubuhan kerajaan baharu.
“Nampaknya tak diterjemahkan sebagai mana yang dihasratkan oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi,” katanya dalam program Owh MG terbitan MalaysiaGazette, semalam.
Kesal dengan pendirian itu, Tengku Razaleigh bertindak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, berkuatkuasa 20 September lalu.
Tambah beliau, bukan beliau sahaja berasa kecewa berhubung perkara itu tetapi banyak pihak turut merasainya dan ia seperti menukar gambar atau ‘bermain bayang’ yang menyebabkan ramai tidak berpuas hati.
Menurutnya, apakah ini had kemampuan dan kebolehan UMNO pada masa ini.
“Kalau saya terus jadi pengerusi penasihat, tak upaya saya mengubah perkara penting seumpama ini iaitu menterjemahkan keputusan usul yang diluluskan oleh PAU 2020 sebulat suara.
“Tak perlu saya kekal di situ lagi, saya tak upaya lakukannya, baik saya tarik diri itu tujuan dan sebab sebenar saya berundur,” katanya.
Tengku Razaleigh mendakwa, tindakan Ismail Sabri melantik menteri dan timbalan menteri dalam Kabinetnya dalam kalangan kerajaan terdahulu selah-olah UMNO merestui kerajaan gagal.
“Mengapa kerajaan yang ditolak oleh rakyat disifat sebagai kerajaan gagal, ditubuh balik, cuma bertukar jawatan atau portfolio sahaja menteri di kementerian A pergi ke kementerian B, ada B pergi ke A,” ujarnya.
Tengku Razaleigh berkata, rakyat tidak bodoh dan tidak boleh diperbodohkan kerana banyak nyawa melayang akibat pandemik Covid-19.
“Kita serius, setiap hari beratus mati, kes jangkitan Covid-19 beribu, 17,000, 18,000 sehingga 22,000 pada satu ketika, negeri-negeri pula naik beribu, Sarawak lebih 2,000 sehari, Selangor begitu juga.
“Saya rasa kita tak boleh main-main, ini tanggungjawab kita untuk menyelamatkan nyawa rakyat,” katanya.
Beliau berpendapat, rakyat akan marah dan kecewa kepada jika kerajaan memandang rendah terhadap masalah kehidupan mereka.
Katanya, langkah untuk mengatasi krisis kepercayaan rakyat terhadap UMNO hanya melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Serah balik mandat kepada rakyat, biar rakyat menentukan siapa yang layak diangkat sebagai kerajaan baharu, itu sebaik cara, ikut proses demokrasi.
“Kerana Covid-19, mungkin kempen pilihan raya akan mendedahkan banyak pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya kepada jangkitan penyakit berjangkit ini boleh membahayakan ramai rakyat.
“Mungkin kita cari jalan juga suatu hari nanti bagaimana kita dapat mengatasi masalah ini kalau kita mesti juga adakan pilihan raya dengan cepat,” katanya.